4 MP Sabah tidak perlu kosongkan kerusi - Wan Junaidi
SHAH ALAM - Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar menegaskan empat ahli Parlimen Sabah yang keluar dari Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) tidak perlu mengosongkan kerusi mereka.
Bekas Ahli Parlimen Santubong itu berkata, ia kerana status mereka ketika ini adalah ahli Gabungan Rakyat Sabah (GRS).
Saya dimaklumkan oleh pelbagai sumber yang boleh dipercayai pada hari ini (Isnin) bahawa empat ahli Bersatu ini telah meletakkan jawatan dalam parti mereka pada awal Oktober lalu iaitu sebelum bertanding dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) pada 19 Oktober lepas.
"Dalam hal ini saya perlu bersetuju dengan Peguam Undang-Undang Perlembagaan, Datuk Tengku Fuad Ahmad bahawa undang-undang anti lompat parti memang tidak memberi kesan kepada mereka," katanya dalam kenyataan pada malam Isnin.
Wan Junaidi menjelaskan, dalam PRU15, empat ahli Parlimen itu bertanding sebagai calon GRS.
"Pakatan GRS dengan Bersatu berakhir pada awal Oktober tahun ini, sebelum pilihan raya berlangsung.
"Oleh itu, mereka tidak melanggar undang-undang anti lompat parti di bawah Perlembagaan Persekutuan," ujar beliau.
Wan Junaidi sebelum ini dilaporkan berkata, empat ahli Parlimen Sabah itu perlu mengosongkan kerusi Parlimen masing-masing sekiranya peletakan jawatan mereka sebagai ahli Bersatu diterima.
Menurut beliau yang merupakan menteri bertanggungjawab menggubal Akta Antilompat Parti yang dilulus di Dewan Rakyat dan dikuatkuasakan Oktober 2022, sehubungan itu pilihan raya kecil (PRK) perlu diadakan susulan pengosongan kerusi tersebut.
Pada Ahad, Sinar Harian melaporkan Tengku Fuad memberitahu, empat ahli Parlimen terbabit tidak melanggar Perkara 49A Perlembagaan Persekutuan kerana bertanding pada PRU15 sebagai calon GRS dan bukannya calon Perikatan Nasional atau Bersatu.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!