Pertahanan Harimau Malaya belum mantap
BARISAN pertahanan pasukan negara belum mencapai prestasi optimum dalam kejayaan Malaysia menumpaskan Kemboja 4-0 pada perlawanan antarabangsa di Stadium Nasional di Bukit Jalil, Jumaat lalu.
Pemain pertahanan, Sharul Nazeem Zulpakar yang diturunkan dalam kesebelasan utama pada pertembungan itu berkata, konsistensi ialah kelemahan ketara yang perlu diatasi pertahanan Harimau Malaya menjelang perlawanan seterusnya.
“Saya merasakan pada separuh masa pertama kami lebih bagus berbanding separuh masa kedua, mungkin disebabkan kepenatan, mungkin (juga) hilang fokus.
Jadi dari situ kami (pemain pertahanan) perlu belajar lagi dan kami perlu berubah pada perlawanan akan datang,” kata tonggak pertahanan Selangor FC itu yang beraksi sepanjang 90 minit pada perlawanan menentang Kemboja itu.
Pada masa sama, pemain berusia 23 tahun itu turut berkata jentera bahagian tengah memainkan peranan yang baik Jumaat lalu dengan Stuart Wilkin dan David Rowley yang meraih penampilan pertama bersama pasukan negara, masing-masing memberikan sumbangan diperlukan.
“Stuart dan David bermain agak baik kerana memenangi 'second ball', jadi kami bahagian pertahanan mudah kerja,” katanya yang berhasrat untuk berada dalam senarai akhir 24 pemain ke Piala AFF 2022 dari 20 Disember sehingga 16 Januari depan.
Pasukan negara bimbingan Kim Pan-gon akan menghadapi satu lagi perlawanan antarabangsa menentang Maldives di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, Cheras pada Rabu ini, sebelum memulakan kempen Piala AFF menentang Myanmar di Yangon, dalam perlawanan pembukaan Kumpulan B pada 21 Disember.Malaysia dijadual berdepan Laos di Bukit Jalil pada 24 Disember, diikuti Vietnam di Hanoi (27 Disember) dan menerima kunjungan Singapura di Bukit Jalil (3 Januari) dalam perlawanan terakhir Kumpulan B.
Harimau Malaya yang merangkul gelaran juara pada 2010 terkandas di peringkat kumpulan pada edisi lepas di Singapura selepas muncul naib juara pada edisi 2018.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!