Cuti sekolah kembali, ibu bapa sudah sedia?

Cuti penggal persekolahan bermula dan inilah masanya untuk murid dan pelajar berehat seketika daripada menelaah pelajaran. -Gambar hiasan
Cuti penggal persekolahan bermula dan inilah masanya untuk murid dan pelajar berehat seketika daripada menelaah pelajaran. -Gambar hiasan
A
A
A

CUKUP menggembirakan bagi murid dan pelajar apabila cuti penggal persekolahan bermula. Inilah masanya untuk berehat seketika daripada menelaah pelajaran.

Kegembiraan berganda sekiranya anak-anak ditemani ibu atau bapa di rumah bagi memantau serta menyediakan makan minum sepanjang cuti persekolahan kira-kira tiga minggu ini.

Namun, terdapat ibu bapa yang terpaksa menghantar anak ke kampung halaman untuk tinggal sementara bersama datuk dan nenek disebabkan kedua-duanya tidak dapat cuti sepanjang musim cuti sekolah. Ada juga ibu bapa yang terpaksa meninggalkan anak bersama pengasuh atau pusat asuhan kerana tiada pilihan.

Sebagai ibu bapa, perancangan rapi perlu diatur bagi memastikan anak-anak mendapat perhatian secukupnya termasuk keperluan kasih sayang, makan minum serta keperluan diri.

Tidak sepatutnya anak-anak yang masih belum boleh berdikari ditinggalkan sendiri tanpa kawalan orang dewasa di rumah sepanjang hari mahupun berkeliaran mencari makanan di luar disebabkan kedua-dua ibu bapa keluar bekerja.

Selain mengikuti kem ibadat, motivasi diri atau tuisyen, anak-anak juga boleh didaftarkan ke kelas kemahiran bagi mengisi masa terluang. Ibu bapa juga boleh mengambil peluang mendaftar anak lelaki untuk berkhatan memandangkan cuti sekolah yang panjang boleh dimanfaatkan untuk proses rawatan dan kesembuhan.

Bagi yang kurang berkemampuan, tidak menjadi masalah untuk menghabiskan masa cuti di rumah dengan aktiviti bermanfaat.

Maksimumkan masa yang ada dengan melatih soft skills bermula dengan aktiviti mudah seperti sidai baju, cuci pinggan, sapu sampah dan mengemas rumah.

Artikel Berkaitan:

Aktiviti ini bukan sahaja mampu meningkatkan kreativiti dan kematangan berfikir kanak-kanak, namun melatih mereka lebih bersedia dan mencari penyelesaian andai berdepan cabaran pada masa depan.

Bagi keluarga yang mempunyai lebih bajet, boleh juga luangkan masa membawa keluarga bercuti bagi mengeratkan hubungan antara satu sama lain. Pemilihan lokasi dan tempoh percutian juga penting sama ada mahu ke pantai, air terjun, menginap di hotel atau lain-lain agar sesuai dengan kemampuan dan tahap keselamatan, sekali gus membuatkan percutian keluarga lebih menyeronokkan.

Salah satu aktiviti yang boleh dilakukan ialah berkunjung atau menziarahi saudara mara yang sudah lama tidak bertemu. Jadikan musim cuti sekolah kali ini sebagai asbab pengerat hubungan kekeluargaan antara jauh dan dekat.

Bagi pelajar atau remaja yang ingin berdikari, ini masa yang sesuai untuk mencari kerja sambilan.

Selain itu, ibu bapa juga boleh mengatur jadual harian bagi membahagikan masa dengan baik agar lebih bermanfaat.

Bagaimanapun, anak-anak juga perlu diberi kelonggaran untuk melakukan aktiviti sendiri seperti melayan hobi mereka, bermain, riadah serta melakukan aktiviti bebas namun masih dipantau. Pemantauan ini penting kerana pendedahan gajet yang melampau mampu mempengaruhi kehidupan dan amalan seharian kanak-kanak.

Pengerusi Pertubuhan Salwa Malaysia (Salwa), Profesor Madya Dr Nur Izura Udzir sebelum ini menyatakan kanak-kanak seawal usia 12 tahun ke bawah tidak dapat membezakan baik atau buruk sesuatu perlakuan itu termasuk pornografi.

Menurutnya, pendedahan pornografi melalui gajet di usia muda boleh mengubah minda dan memberi impak pada corak pemikiran kanak-kanak. Ia dibuktikan dengan kajian universiti di Amerika Syarikat yang menunjukkan situasi itu boleh mengubah satu bahagian pada otak sehingga menyebabkan ketagihan.

Terdapat kandungan di media sosial terutamanya yang membabitkan tindakan agresif, bahan jenaka melampau, aksi ganas dan mencarut menjadi risiko ikutan kepada kanak-kanak.

Tempoh penggunaan gajet yang keterlaluan juga boleh menjadi faktor ketagihan sehinggakan rutin atau amalan harian bertukar.

Akhir sekali, musim cuti sekolah juga boleh dimanfaatkan dengan menyediakan kelas mengaji al-Quran secara intensif atau ibu bapa sendiri menjadi tenaga pengajarnya.

Pupuklah anak dengan ilmu agama disusuli adab dan akhlak yang baik di samping menggunakan masa cuti sekolah sebaiknya bagi membina hubungan akrab antara anak-anak dan pasangan. Itu yang terbaik.

* Siti Zubaidah Zakaraya Wartawan Sinar Harian Kedah

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!