Selesaikan sebelum capai negara berpendapatan tinggi
TUN Dr Mahathir Mohamed pernah berkata, kerajaan perlu berhati-hati dalam meningkatkan pendapatan kerana ia akan menyebabkan kenaikan kos sara hidup. Jelas beliau, ada negara pendapatan tinggi dengan pembayaran gaji yang lumayan, namun tiada kemampuan kuasa beli.
Persoalannya sekarang, apakah kita mampu keluar dari kepompong negara berpendapatan sederhana tinggi setelah sekian lama terperangkap dengan tangga gaji kebanyakan di bawah paras gaji RM4,000 sebulan.
Malah ada yang masih melutut dengan gaji bawah RM3,000 sebulan. Di mana titik tolak untuk memulakan misi mencapai negara berpendapatan tinggi ketika rakyat masih lagi hidup tertekan dengan kos sara hidup, hinggakan hendak membuat simpanan RM100 sebulan pun sukar.
Sebagai pemerhati ekonomi, banyak perkara di peringkat asas atau internal level perlu ditangani dahulu. Antaranya, apakah jalan keluar atau penyelesaian bagi rakyat yang masih terkesan kerana pemotongan gaji atau lebih tenat yang hilang pekerjaan.
Bagaimanakah kita dapat mengurangkan kerenah birokrasi melibatkan rantaian bekalan makanan. Pihak penguasa terdahulu pun masih belum mampu merungkai monopoli pengeluar, pemborong dan peruncit yang dikatakan mengawal harga barangan serta stok kawalan.
Belum masuk lagi isu-isu perumahan, kos perubatan dan agihan subsidi yang sepatutnya hanya dinikmati golongan B40 dan M40.
Diharap Kerajaan Perpaduan dapat meminimumkan kemelut ini secara berperingkat sebelum ke arah menceritakan mengenai pendapatan tinggi.
Apa makna pembangunan kalau gaji kumpulan pekerja dan isi rumah masih di tahap kemiskinan yang ditetapkan di Malaysia iaitu RM2,208.
Oktober lalu, Unit Penyelaras Pelaksanaan (ICU) Jabatan Perdana Menteri mengumpul data kemiskinan berdasarkan sistem eKasih.
Setakat 31 Julai 2022, sebanyak 136,923 isi rumah adalah miskin tegar dan 308,699 dalam kategori miskin.
Angka ini dijangka meningkat semula tahun depan walaupun mencatat penurunan pada awal tahun ini ekoran pergerakan ekonomi mulai dirasai.
Kita yakin pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang pernah memperjuangkan nasib kemiskinan di Baling pada tahun 1970-an akan diteruskan ketika pentadbirannya kini.
Mungkin Dasar Ekonomi Baharu atau reset ekonomi perlu dirangka dalam mengurangkan kadar kemiskinan demi mencapai keadilan jurang sosioekonomi antara rakyat yang semakin melebar.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!