[VIDEO] Penduduk rayu kelulusan hak milik tanah

Antara peneroka yang hadir menuntut penjelasan daripada pihak JTU Daerah Kunak mengenai status PT di Skim Peneroka Madai Baturong, Kunak.
Antara peneroka yang hadir menuntut penjelasan daripada pihak JTU Daerah Kunak mengenai status PT di Skim Peneroka Madai Baturong, Kunak.
A
A
A

KUNAK - Lebih 100 penduduk Skim Peneroka Madai Baturong di sini merayu supaya tanah yang diteroka dan diusahakan sejak 25 tahun lalu diberikan hak kepada mereka.

Penduduk mendakwa bahawa sebahagian Permohonan Tanah (PT) telah dibatalkan pada hujung tahun lalu tanpa sebarang alasan munasabah dan berharap ada penjelasan daripada pihak Jabatan Tanah dan Ukur (JTU) Daerah Kunak.

Peneroka, Goefle Joseph, 36, melahirkan rasa kecewanya apabila tanah seluas kira-kira empat hektar yang diteroka bapanya serta diusahakan sejak tahun 1997 sehingga kini belum dimiliki malah PT juga turut dibatalkan.

Geofle berkata, walaupun dia merupakan generasi kedua tetapi secara tidak langsung turut terlibat membantu meneroka serta mengusahakan tanaman itu sejak kecil bersama bapanya.

"Ketika itu, saya baru berusia 13 tahun tetapi saya turut membantu bapa saya membersihkan tanah walaupun terpaksa berdepan dengan serangan haiwan liar termasuk gajah dan beruang di kawasan berkenaan.

"Kami kemudian mengusahakan tanaman padi, sayur serta buah-buahan sebagai sumber pendapatan keluarga sementara menunggu kelapa sawit mengeluarkan hasil," katanya.

Beliau berkata demikian ditemui pemberita ketika pertemuan antara penduduk bersama Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO) Sabah di Balai raya Kampung Hulu Madai di sini pada Isnin.

Geofle berkata, selepas 25 tahun mengusahakan tanah berkenaan mereka dikejutkan dengan berita bahawa PT mereka dibatalkan tanpa sebarang alasan daripada pihak JTU Daerah Kunak.

Artikel Berkaitan:

"Kami rasa tidak berbaloi mengusahakan tanah itu sejak sekian lama sehingga menjadi kebun dan tiba-tiba PT kami dibatal selain dimaklumkan bahawa kawasan itu sudah penuh serta ada pemohon yang telah mengisi kekosongan tanah berkenaan," katanya.

Sehubungan itu, Geofle merayu supaya penduduk diberikan hak mereka sebagai peneroka pertama yang mengusahakan tanah berkenaan dan berharap ada campur tangan daripada pihak berkaitan.

Seorang lagi peneroka, Barita Sudin, 75, tidak dapat melupakan kesukarannya mengusahakan tanah di kawasan berkenaan apabila terpaksa berdepan dengan penyakit malaria ketika itu.

"Walaupun tidak pernah berjumpa dengan haiwan buas ketika meneroka tanah, tetapi ketika itu ramai penduduk dijangkiti penyakit malaria.

Dari kiri: Adnan, Barita dan Geofle.
Dari kiri: Adnan, Barita dan Geofle.

"Bertahun lamanya saya mengusahakan tanah berkenaan dan kini PT dibatalkan tetapi saya tetap perjuangkannya kerana inilah sumber pendapatan utama kami untuk membesarkan anak," katanya.

Adnan Palisuri, 44, pula berharap pihak JTU memberikan mereka geran tanah yang diusahakan keluarganya selama ini.

Dalam pada itu, Penyelaras MHO Sabah, Jerry Jaimeh memaklumkan bahawa mereka hadir sebagai mewakili penduduk ketika pertemuan dengan pihak Penolong Pemungut Hasil Tanah (PPHT) Kunak.

Beliau berkata, satu surat telah diserahkan kepada wakil PPHT Kunak di pekarangan bangunan Urusetia Daerah Kunak.

"Hari ini kita menghantar surat pertanyaan bagi mendapatkan penjelasan secara bertulis daripada Jabatan Tanah PPHT Kunak mengenai sebab PT peneroka ditolak tanpa sebarang makluman.

"Kami juga telah meminta tarikh janji temu di mana MHO dan peguam MHO bersama wakil penduduk kampung untuk duduk berbincang dengan JTU Daerah Kunak bagi mencari jalan penyelesaian," katanya.

Sementara itu, Penolong Juruukur PPHT Kunak, Smith Lewas mengesahkan bahawa beliau telah menerima surat daripada MHO.

"Saya hanya menerima surat daripada MHO dan akan disampaikan kepada PPHT, hasil daripada kajian itu kami akan hantar ke ibu pejabat JTU," katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!