Jelebu jadi pusat Koleksi Durian Kerajaan Negeri Sembilan
JELEBU - Tanah milik kerajaan berkeluasan 4.048 hektar di Titi di sini dijadikan sebagai lokasi Koleksi Durian Kerajaan Negeri Sembilan.
Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, ia dikelolakan oleh Pejabat Pertanian Negeri Sembilan dan merupakan salah satu usaha kerajaan negeri untuk memberi perkhidmatan sokongan teknikal serta khidmat nasihat khususnya bagi tanaman durian.
"Apabila beroperasi pada kapasiti penuh kelak, tapak ini dijangka mempunyai sebanyak 240 pokok durian yang terdiri daripada 20 klon durian dan durian kampung premium.
"Kita (kerajaan negeri) juga berhasrat untuk menjadikan tapak ini sebagai pusat pengumpulan durian daripada pembekal setempat untuk dipasarkan ke seluruh negara.
"Besarlah harapan saya agar usaha ini dapat meningkatkan taraf sosioekonomi masyarakat setempat secara langsung dan tidak langsung melalui tanaman durian, insya-ALLAH," katanya selepas selesai merasmikan Tapak Tanaman Durian Kerajaan Negeri Sembilan di sini pada Isnin.
Dalam pada itu, Aminuddin berkata, sedia maklum, Jelebu antara pengeluar durian yang terkenal di negara ini selain daerah ini mempunyai klonnya yang tersendiri.
"Bagaimanapun kita (Jabatan Pertanian ) tiada tempat untuk belajar, cara mengurus dan menjaga durian seterusnya ditunjukkan kepada pengusaha sebagai contoh atau model.
"Tetapi ingin saya tegaskan, koleksi durian kerajaan ini bukanlah bermaksud kerajaan negeri tanam durian dan apabila berbuah, kita bawa exco atau wakil rakyat makan durian, tidak! Usaha ini adalah untuk semua pihak belajar," katanya.
Katanya lokasi koleksi durian ini juga akan menjadi tarikan destinasi pelancongan dalam pertanian (agrotourism).
Sementara itu, Aminuddin berkata, koleksi durian Kerajaan Negeri Sembilan sama sekali tidak akan mengawal harga durian di pasaran.
"Harga durian bergantung kepada permintaan, jika buah banyak kebiasaan harga dijual murah dan jika tidak banyak buah harga tinggi, itu perkara biasa," katanya.
Koleksi Durian Kerajaan Negeri Sembilan akan siap sepenuhnya menjelang 2025 dengan kos keseluruhan RM500,000.
Antara objektif penubuhan koleksi durian kerajaan Negeri Sembilan adalah sebagai pusat kecemerlangan bagi aktiviti latihan dalam teknologi pertanian, pengeluaran bahan tanaman, pusat pengumpulan industri asas tani bagi produk berasaskan durian dan agrotourism.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!