Maghribi sedia cipta kejutan ke atas Perancis
MAGHRIBI mampu untuk terus melakar kejutan ketika menentang jaguh Eropah, Perancis dalam aksi separuh akhir Piala Dunia Qatar 2022 pada Khamis.
Pembantu jurulatih Maghribi, Mustapha Hadji menegaskan Maghribi mempunyai keupayaan dan semangat luar biasa untuk memastikan kemenangan buat pasukan dari benua Afrika itu.
Menurutnya, taktikal pengendali pasukan Walid Regragui juga memainkan peranan penting sekali gus berhasil menundukkan beberapa gergasi Eropah seperti Belgium, Sepanyol dan Portugal dalam laluan ke separuh akhir.
"Hanya dua atau tiga bulan sejak Regragui tiba ke pasukan kebangsaan (mengambil alih Maghribi pada Ogos) dan berjaya membawa Maghribi cemerlang seperti dilakukan pengendali terdahulu, Vahid Halilhodzic.
"Regragui mampu mencari cara sesuai dan membawa pemain berada pada tahap terbaik dari segi fizikal dan mental.
"Pasukan bermain dengan hati dan mengikuti apa yang diarahkan oleh jurulatih. Berdasarkan kemampuan Regragui itu, sudah tentu kejutan dan magis akan tercipta lagi," katanya.
Pasukan dengan panggilan The Atlas Lions itu beraksi cemerlang dalam saingan Piala Dunia Qatar kali ini dengan merekodkan keputusan tanpa kalah dalam semua perlawanan dan menjadi pasukan pertama daripada Afrika mara ke separuh akhir.
Hadji yang turut pernah mewakili Maghribi dalam dua edisi Piala Dunia pada 1994 dan 1998 juga mengakui pemain berada pada tahap terbaik untuk menentang Perancis.
"Ini adalah peluang untuk Maghribi mencipta satu lagi sejarah dan rakyat juga memberikan sokongan yang sangat jitu.
"Di Maghribi, ia seperti satu suasana menakjubkan dan apa yang berlaku kepada pasukan kebangsaan adalah sangat luar biasa," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!