Perak kenal pasti kawasan penempatan semula mangsa banjir

Saarani ketika program Selamat Pagi Cikgu Saarani di Perak FM, Jabatan Penyiaran Negeri Perak pada Selasa.
Saarani ketika program Selamat Pagi Cikgu Saarani di Perak FM, Jabatan Penyiaran Negeri Perak pada Selasa.
A
A
A

IPOH - Kerajaan Perak mengarahkan semua Pejabat Daerah dan Tanah di negeri ini mengenal pasti kawasan sesuai untuk penempatan semula mangsa banjir di negeri ini.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, kawasan yang dikenal pasti itu mestilah mengambil kira beberapa faktor melibatkan keselamatan dan sosioekonomi penduduk yang akan dipindahkan.

Menurutnya, pemindahan penduduk terjejas banjir di kawasan baharu merupakan keperluan memandangkan bencana tersebut berlaku berulang kali.

"Sebab itu bila nak memindahkan (mangsa banjir) yang itu kena mengambil kira, pertama kawasan yang ditempatkan iaitu kawasan sesuai yang lebih selamat daripada kawasan asal, yang kedua tidak jauh daripada tempat dia mencari makan.

"Dengan perubahan cuaca banjir berlaku di banyak tempat berulang kali merosakkan rumah kediaman masing-masing, jadi keperluan untuk mereka itu berpindah ada, tetapi kena dalam keadaan sangat sesuai terutama sekali berkaitan dengan tempat dia mencari makan," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas program Selamat Pagi Cikgu Saarani di Perak FM, Jabatan Penyiaran Negeri Perak di sini pada Selasa.

Beliau berkata, setakat ini hanya satu kawasan dikenal pasti iaitu di Kampung Air Hitam di daerah Hilir Perak yang akan menempatkan 28 keluarga mangsa banjir di Jalan Changkat Jong.

Menurutnya, peruntukan telah disediakan kepada Lembaga Perumahan dan Hartanah Perak (LPHP) pada tahun 2020 sebanyak RM3.94 juta bagi tujuan tersebut, tetapi tertangguh disebabkan kontraktor menarik diri akibat pandemik Covid-19.

Katanya, memandangkan kos bahan binaan meningkat, LPHP terpaksa membuat tender semula bagi meneruskan projek penempatan semula tersebut.

Artikel Berkaitan:

"Projek ini tentunya mengambil masa kerana ia melibatkan juga penyediaan tapak. Jika tapak itu perlu diratakan, ada kerja-kerja untuk meratakan. Jika tapak itu perlu ditambak, perlu ada masa untuk melihat sama ada tanah itu mendap ataupun tidak.

"Peruntukan ketika itu RM3.94 juta. Oleh sebab harga binaan meningkat sangat tinggi, jadi kita terpaksa memohon peruntukan tambahan kerana nak bina 28 rumah, bilangan rumah kena sama, jadi harga meningkat," katanya.

Ketika ini terdapat tiga daerah iaitu Muallim, Hilir Perak dan Manjung mengalami banjir dengan jumlah mangsa dipindahkan seramai lebih 300 orang.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!