Agong berangkat ke Doha, Qatar bagi lawatan khas

Al-Sultan Abdullah berkenan berangkat ke Doha, Qatar bagi mengadakan lawatan khas selama enam hari bermula Selasa. - Foto Facebook Istana Negara
Al-Sultan Abdullah berkenan berangkat ke Doha, Qatar bagi mengadakan lawatan khas selama enam hari bermula Selasa. - Foto Facebook Istana Negara
A
A
A

KUALA LUMPUR - Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan berangkat ke Doha, Qatar bagi mengadakan lawatan khas selama enam hari, bermula Selasa.

Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Datuk Seri Ahmad Fadil Shamsuddin berkata, lawatan khas itu merupakan atas persilaan peribadi Emir Qatar Sheikh Tamim Hamad Al Thani sempena temasya Piala Dunia FIFA Qatar 2022.

"Selain persilaan menyaksikan perlawanan-perlawanan separuh akhir dan perlawanan akhir temasya ke-22 Piala Dunia FIFA itu, Seri Paduka turut dijadualkan melakukan kunjungan hormat dan pertemuan dengan Sheikh Tamim.

"Seri Paduka turut dijadualkan menerima menghadap beberapa pemimpin kerajaan Qatar dan berangkat menghadiri majlis santapan bersama rakyat Malaysia di Qatar, dalam rangka lawatan khas ini,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Ahmad Fadil berkata, Al-Sultan Abdullah dijadualkan berangkat tiba di tanah air pada 19 Disember.

Sebelum ini, persilaan peribadi Sheikh Tamim dipersembahkan oleh Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Luar Qatar Sheikh Mohammed bin Abdulrahman Al-Thani, semasa sesi menghadap di Istana Negara pada 12 Ogos lepas.

Al-Sultan Abdullah merupakan Anggota Jawatankuasa Eksekutif FIFA dari 2015 hingga 2019.

Bagaimanapun susulan pemilihan Seri Paduka sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-16 pada awal tahun 2019, Al-Sultan Abdullah telah berkenan melepaskan jawatan tersebut selaras dengan Perkara 34(2), 32(3) dan 32(4) Perlembagaan Persekutuan. - Bernama

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!