Bounou bakal jadi watak penting kekang Perancis

Bounou (kanan) sekali lagi akan menjadi tumpuan ketika perlawanan separuh akhir menentang Perancis.
Bounou (kanan) sekali lagi akan menjadi tumpuan ketika perlawanan separuh akhir menentang Perancis.
A
A
A

PENJAGA gol Maghribi, Yassine Bounou dijangka sekali lagi akan menjadi watak penting untuk mengekang kemaraan Perancis apabila kedua-dua pasukan bertemu dalam pusingan separuh akhir Piala Dunia Qatar pada Khamis.

Bounou tampil cemerlang bersama skuad The Atlas Lions yang menyaksikan hanya bolos sekali sepanjang kempen Piala Dunia kali ini.

Malah, penjaga gol berusia 31 tahun itu juga membuktikan kemampuan sebagai penyelamat sepakan penalti terbaik menafikan dua penalti Carlos Soler dan Sergio Busquets untuk menghantar Sepanyol pulang pada pusingan 16 terbaik.

Bounou sekali lagi tampil cemerlang dengan aksi bertaraf dunia ketika kemenangan bersejarah 1-0 ke atas Portugal di peringkat suku akhir sekali gus membawa Maghribi ke pentas separuh akhir.

Menurut penjaga gol yang beraksi bersama kelab Sepanyol, Sevilla itu, kemaraan Maghribi bukan hanya bergantung kepada dirinya sebaliknya kerjasama semua pemain dalam pasukan.

"Situasi seperti ini sukar dipercayai. Kami datang untuk mengubah mentaliti dan rasa kurang yakin kami. Pemain Maghribi boleh bersaing dengan sesiapa sahaja di dunia.

"Saya fikir perkara paling penting kami telah mengubah mentaliti itu dan generasi selepas ini. Kami akan tahu bahawa pemain Maghribi boleh melakukan semua ini," katanya.

Bounou juga menegaskan pasukan itu tidak berhasrat untuk memperlahankan momentum dan bersedia untuk menumbangkan penyandang juara, Perancis.

Artikel Berkaitan:

"Apabila anda menjadi sebahagian daripada cerita, anda tidak memahami apa yang berlaku dengan cepat. Sekarang ini, semuanya baik, kami akan kekal fokus. Kami gembira dengan apa yang telah kami lakukan setakat ini," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!