Perlu langkah drastik, radikal bangunkan luar bandar - TPM

Ahmad Zahid
Ahmad Zahid
A
A
A

SHAH ALAM - Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamid akan mengemukakan pelan tindakan dan petunjuk prestasi utama (KPI) Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah berhubung isu kesenjangan, penerokaan potensi ekonomi dan peningkatan taraf hidup luar bandar dalam masa terdekat.

Menurutnya, sesuatu yang drastik dan radikal perlu dilakukan daripada sekarang jika tidak mahu kawasan luar bandar Malaysia terus ketinggalan khususnya daripada segi pendapatan antara kedua-dua kawasan.

“Berdasarkan data terkini pada 2019, pendapatan penengah isi rumah luar bandar adalah RM3,828 berbanding RM6,561 bagi kawasan bandar.

“Secara perbandingan mudah, bagi setiap RM100 yang diraih penduduk di bandar, penduduk luar bandar hanya mampu meraih sebanyak RM58.

“Data ini tidak mengambil kira tahun 2020 ke atas yang mana kita tahu kesan ekonomi disebabkan wabak Covid jauh lebih membarah. Ini adalah sesuatu yang semakin kritikal dan tidak boleh dibiarkan tenat.

“Maka penggal ini, isu kesenjangan, penerokaan potensi ekonomi dan peningkatan taraf hidup luar bandar akan menjadi keutamaan dan fokus saya.

"Saya akan menggembleng tenaga dan kudrat kementerian serta agensi-agensinya untuk bersama-sama menyelesaikan segala isu berkaitan desa di Malaysia sepantas yang mungkin,” katanya dalam satu hantaran di Facebook pada Selasa.

Pada masa sama, beliau yang juga Menteri Pembangunan Desa dan Wilayah menjelaskan, data penghijrahan penduduk sejak 10 tahun kebelakangan ini mendapati lebih ramai penduduk kawasan bandar berhijrah ke luar bandar berbanding luar bandar ke bandar apabila pada tahun 2020, sejumlah 18.1 peratus penghijrahan penduduk dari bandar ke luar bandar berbanding 3.0 peratus luar bandar ke bandar.

Artikel Berkaitan:

"Ini adalah angka yang menggalakkan kerana dengan penghijrahan penduduk kembali ke luar bandar, bermakna pengalaman kerja, kemahiran dan ekonomi yang lebih inovatif yang diterokai di bandar dapat dibawa ke luar bandar.

"Ini sepatutnya dapat meningkatkan limpahan ekonomi dan peluang di kawasan luar bandar. Tetapi nampaknya tidak. Ekonomi luar bandar tetap memperlihatkan kesenjangan yang amat tinggi antara kawasan bandar dan luar bandar,"katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!