Peniaga kedai runcit dicekup bersama 563 karton rokok seludup

Sebahagian rokok pelbagai jenis yang dirampas polis dalam serbuan di sebuah rumah kedai di jalan Gong Badak pada Isnin. - Foto PDRM
Sebahagian rokok pelbagai jenis yang dirampas polis dalam serbuan di sebuah rumah kedai di jalan Gong Badak pada Isnin. - Foto PDRM
A
A
A

KUALA TERENGGANU – Polis Terengganu berjaya merampas 563 karton pelbagai jenis rokok seludup dianggarkan bernilai RM23,000 dalam serbuan di sebuah rumah kedai di Jalan Gong Badak di sini pada jam 3.30 pagi, Isnin.

Timbalan Ketua Polis Negeri, Datuk Wan Rukman Wan Hassan berkata, serbuan dilakukan pasukan cawangan siasatan khas D9 Jabatan Siasatan Jenayah itu turut menahan seorang lelaki tempatan berusia 37 tahun.

“Hasil semakan mendapati lelaki yang bekerja sebagai peniaga kedai runcit itu mempunyai dua rekod jenayah lampau melibatkan kesalahan jenayah narkotik,” katanya dalam satu kenyataan di sini pada Selasa.

Menurut Wan Rukman, modus operandi yang dilakukan suspek adalah dipercayai dengan membeli rokok seludup daripada pembekal dan disimpan di dalam rumah kedai sebelum menjual semula di kedai runcit miliknya.

Jelas beliau, pihaknya sedang menjalankan siasatan lanjut untuk mengenal pasti sindiket pengedaran rokok tersebut.

“Suspek kini direman selama 12 hari bermula Isnin untuk siasatan lanjut.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967 iaitu kesalahan memiliki rokok seludup yang memperuntukkan hukuman denda maksimum 10 kali ganda nilai atau RM100,000,” katanya.

Artikel Berkaitan:
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!