Wanita rayu JPN percepat proses permohonan warganegara

Nur Farah Liyana (kanan) bersama anak angkat peliharaannya, Nur Jannahtul Adra Abdullah, 5, yang dipangku ibunya, Rozita Ismail, 52, di rumah mereka di Kampung Batang Tiga, Klebang di sini.
Nur Farah Liyana (kanan) bersama anak angkat peliharaannya, Nur Jannahtul Adra Abdullah, 5, yang dipangku ibunya, Rozita Ismail, 52, di rumah mereka di Kampung Batang Tiga, Klebang di sini.
A
A
A

MELAKA - Bimbang dengan masa depan anak angkat, seorang wanita di Klebang di sini merayu Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) mempercepatkan proses pemberian status kewarganegaraan kanak-kanak di bawah jagaannya itu.

Nur Farah Liyana Abdul Ghani, 29, berkata, dia mula menjaga Nur Jannahtul Adra Abdullah, 5, ketika kanak-kanak itu baru berusia lima bulan.

Menurut Nur Farah, pada mulanya dia bersama ibunya, Rozita Ismail, 52, cuma menjadi pengasuh kepada kanak-kanak itu setelah diminta ibu kandungnya untuk menjaga Nur Jannahtul Adra atau lebih mesra dipanggil Jannah.

"Saya kenal mak kandung Jannah masa kerja di klinik swasta di Malim. Maknya datang nak dapatkan rawatan anak, lepas tu dia tanya pengasuh yang boleh jaga Jannah.

"Secara kebetulan mak saya memang boleh jaga budak jadi saya cadangkan hantar Jannah kepada mak," katanya ketika di temui di rumahnya di Kampung Batang Tiga, Klebang di sini.

Nur Farah berkata, setelah tiga tahun menjadi pengasuh, secara tiba-tiba ibu kandung Jannah memberitahu untuk pulang sementara ke Sabah tetapi sehingga kini wanita yang hanya dikenali sebagai Joey dan berusia dalam lingkungan 30-an itu hilang begitu sahaja.

Nur Jannahtul Adra Abdullah
Nur Jannahtul Adra Abdullah

"Jadi saya buat laporan polis dan ambil keputusan ambil Jannah jadi anak angkat. Cuma masalahnya status warganegara Jannah masih belum diperolehi.

Artikel Berkaitan:

"Jadi saya mohon pihak JPN percepatkan proses permohonan untuk dapatkan taraf warganegara untuk Jannah demi masa depan dia," katanya.

Sementara itu, Pengarah JPN negeri, Norazlee Sulaiman ketika dihubungi berkata, pihaknya ada menerima permohonan status warganegara dari keluarga berkenaan pada Disember lalu dan memaklumkan ia sedang dalam proses pertimbangan.

"Kita minta keluarga terbabit bersabar kerana proses permohonan itu perlu melalui pelbagai peringkat termasuk dihantar ke ibu pejabat JPN di Putrajaya dan seterusnya dihantar ke peringkat Kementerian Dalam Negeri (KDN) sebelum ke peringkat menteri untuk membuat keputusan," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!