Tindakan Azalina satu perubahan berani
SHAH ALAM - Satu keputusan tepat dan berani telah diambil Menteri Undang-Undang dan Reformasi Institusi, Datuk Seri Azalina Othman Said apabila bertindak memulakan pelan segera pengubahsuaian berhubung pengasingan kuasa antara Peguam Negara dan Pendakwa Raya.
Pengerusi Yayasan Anti Rasuah Malaysia (YARM), Nor Halmey Hamdah berkata, tindakan dilakukan Azalina itu disifatkan sebagai satu langkah berani kerajaan dalam memperbaiki sistem kehakiman negara supaya tidak berlaku isu campur tangan politik terutama melibatkan kes-kes berprofil tinggi.
Beliau yang juga Pengerusi Rasuah Busters Perlis berkata, tindakan proaktif diambil Azalina itut sebagai suatu perkara yang tidak dijangka akan dapat disuarakan oleh seorang menteri yang bertindak menjaga hal ehwal perundangan.
"Perkara ini seharusnya disambut dengan sangat baik oleh seluruh lapisan masyarakat Malaysia memandangkan pelbagai persepsi dan spekulasi yang cuba dimainkan oleh pihak tidak bertanggungjawab.
"Malah tidak kurang juga ada pihak yang sengaja mengambil kesempatan di atas pertindihan kuasa antara Peguam Negara dan Pendakwa Raya yang telah dipraktikkan di Malaysia selama ini.
"Alhamdulillah, bagi kami di pihak Rasuah Buster menyambut baik pengumuman Datuk Seri Azalina yang berusaha melaksanakan pembaharuan ini sekali gus memberi nilai tambah kepercayaan rakyat kepada sistem perundangan negara," katanya kepada kru Rasuah Busters pada Selasa.
Mengulas lanjut, Nor Halmey berkata, melalui peruntukan-peruntukan akta sedia ada, sememangnya tugas Pendakwa Raya dan Peguam Negara meliputi fungsi yang sangat besar melibatkan penentuan kehakiman terhadap kes-kes berprofil tinggi.
Disebabkan itu katanya, kuasa melibatkan dua entiti penting itu perlu diasingkan supaya tiada lagi persepsi negatif dilemparkan terhadap institusi kehakiman negara.
Malah menerusi pelaksanaan pengasingan kuasa itu, menurutnya, diharap tidak berlaku lagi permainan polemik politik yang cuba diambil kesempatan oleh individu berpengaruh sehingga boleh mengganggu sistem keadilan negara.
Tambahnya, pengasingan kuasa antara dua badan perundangan iaitu Jabatan Peguam Negara dan Jabatan Pendakwa Raya dilihat mampu meningkatkan lagi tahap keyakinan rakyat terhadap keluhuran dan ketelusan sesuatu proses pendakwaan.
"Semoga pelaksanaan ini akan menghalang unsur campur tangan dan salahguna kuasa daripada Peguam Negara yang dilantik untuk memantau hal ehwal perundangan negara.
"Selain itu, ia diharap dapat meningkatkan tahap kecekapan Jabatan Pendakwa Raya mengurus kes pendakwaan tanpa sebarang campur tangan pihak berpengaruh.
"Semoga di bawah kepimpinan Kerajaan Perpaduan yang mengutamakan prinsip ketelusan dan integriti, beberapa perkara yang boleh diperbetulkan demi kesejahteraan negara akan dilaksanakan dengan jayanya," jelasnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!