Langgar etika punca nama pengerusi kariah digugurkan - MAINPP

Ahmad Zakiyuddin (enam dari kanan) bergambar bersama sebahagian kepimpinan kariah daripada 197 masjid yang dilantik dalam satu majlis di Kubang Menerong pada Selasa.
Ahmad Zakiyuddin (enam dari kanan) bergambar bersama sebahagian kepimpinan kariah daripada 197 masjid yang dilantik dalam satu majlis di Kubang Menerong pada Selasa.
A
A
A

TASEK GELUGOR - Berlaku pelanggaran etika pentadbiran selain calon yang dicadangkan tidak memenuhi syarat had umur ditetapkan untuk dilantik sebagai pengerusi kariah masjid.

Itu penjelasan diberikan Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP) berhubung isu beberapa nama pengerusi kariah masjid yang digugurkan semasa pemilihan calon jawatankuasa kariah penggal 2023 hingga 2025.

Yang Dipertua MAINPP, Datuk Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman berkata, antara pelanggaran etika yang dikenal pasti adalah tidak mahu bekerjasama dengan program anjuran Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Pulau Pinang (JHEAIPP), tidak mematuhi prosedur operasi standard (SOP) Covid-19 dan membiarkan masjid menjadi pentas politik kebencian.

Menurutnya, mereka yang terlibat juga didapati pernah menjemput penceramah tiada tauliah mengajar daripada MAINPP.

"Walaupun pernah ditegur beberapa kali sebelum ini, ada di antara mereka yang tidak mengendahkan arahan diberikan.

"Pada pemilihan kali ini, kita telah membuat tapisan sebelum MAINPP membuat pelantikan dan memberi pentauliahan untuk jawatankuasa masjid," katanya pada sidang akhbar selepas menyampaikan watikah pelantikan kepada 2,955 orang pimpinan kariah dari 197 masjid di sini pada Selasa.

Sebelum ini, Pas Pulau Pinang dilaporkan membantah tindakan MAINPP yang didakwa akan menggugurkan beberapa nama pengerusi kariah masjid terpilih dalam Mesyuarat Agung Tahunan dan Pemilihan AJK Kariah sesi 2023-2025.

Ketua Penerangan Pas negeri, Abdul Razib Abdul Rahim berkata, mereka yang terpilih telah melalui proses pemilihan dan menepati Kaedah lima Jawatankuasa Kariah dan Pegawai Masjid (Negeri Pulau Pinang) 1997, Enakmen Pentadbiran Hal Ehwal Agama Islam Negeri Pulau Pinang 1993, Pindaan 2003.

Artikel Berkaitan:

“Kita menuntut MAINPP mengikut prosedur sebenar iaitu menggunakan Kaedah 32 iaitu gugurkan nama pengerusi mempunyai masalah seperti berfahaman sesat, melakukan jenayah bukan semata-mata kerana tidak sebulu atau tidak berkenan di mata pihak MAINPP,” katanya dalam satu kenyataan sebelum ini

Abdul Razib berkata, Pas negeri bertegas agar hal ini dipandang serius oleh pihak MAINPP dan perlu menghormati keputusan serta pilihan anak kariah sementelah mereka ini dipilih dan dipercayai oleh anak kariah masing-masing.

Mengulas mengenai perkara itu, Ahmad Zakiyuddin yang juga Timbalan Ketua Menteri 1 berkata, pemilihan calon jawatankuasa kariah dibuat bukan seperti pengundian pilihan raya.

Sebaliknya beliau berkata, senarai calon yang dikemukakan akan ditapis Pegawai Tadbir Agama (PTA) Daerah untuk semakan awal sebelum dibawa ke mesyuarat Jawatankuasa Pembangunan Masjid & Hal Ehwal Kariah (JPMHEK) untuk saringan seterusnya.

"Polemik berlaku mungkin kerana mereka tidak faham apa peranan pemilihan dan mereka anggap orang yang dipilih akan terus dilantik.

"Pada taklimat awal mengenai pemilihan jawatankuasa telah dijelaskan kepada mereka kita berikan peluang untuk anak-anak kariah untuk calonkan nama dan PTA membuat tapisan.

"Walaupun tanggungjawab untuk mentadbir masjid itu diberikan kepada anak-anak kariah namun MAINPP mesti berhati-hati memberikan tanggungjawab itu kepada sesiapa sahaja sebab itulah tapisan-tapisan ini dibuat," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!