PH Sabah harap dapat jadi sebahagian kerajaan negeri
KOTA KINABALU - Naib Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO), Datuk Ewon Benedick berharap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), serta pemimpin daripada Pakatan Harapan (PH) Sabah dapat menjadi sebahagian daripada kerajaan Sabah.
Sehubungan itu, Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi itu berharap, kerajaan Sabah pimpinan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan Barisan Nasional (BN), dapat merangka mekanisme untuk merealisasikan hasrat itu.
"Kita (PH, GRS dan BN) telah bersama membentuk kerajaan perpaduan di peringkat Persekutuan, jadi saya harap peringkat Sabah ada mekanisme bagaimana perpaduan itu diperkasakan di peringkat kerajaan negeri, bagaimana PH boleh menjadi sebahagian daripada kerajaan Sabah.
"Diharap Ketua Menteri (Datuk Seri Hajiji Noor) dan pimpinan kerajaan negeri dapat menerima PH Sabah sebagai sebahagian daripada pentadbiran kerajaan Sabah,” kata Ewon yang juga ADUN Kadamaian dan Ahli Parlimen Penampang itu kepada Bernama.
Pada 25 November lepas, Ewon dilaporkan berkata, semua tujuh ADUN PH Sabah, menyatakan sokongan serta komitmen untuk bekerjasama dengan Hajiji sebagai Ketua Menteri sehingga penggal DUN berakhir pada 2025.
Ewon berkata, PH Sabah mengalu-alukan kehadiran GRS dalam kerajaan perpaduan bagi membolehkan kerajaan Persekutuan mahupun negeri, berfungsi dengan sempurna untuk memberi kehidupan lebih baik kepada rakyat terutama di negeri ini.
"Apabila rakan kita wakili GRS dilantik menteri menjaga hal ehwal Sabah, Sarawak (Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Sabah, Sarawak dan Tugas-Tugas Khas) Datuk Armizan Mohd Ali) ada peranan strategik kerjasama GRS dan PH serta gabungan lain, saya percaya kerjasama ini banyak manfaatnya,” katanya. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!