Peluang terakhir pemain tambat hati Pan-gon

Kim Pan-gon - Foto: FB FAM
Kim Pan-gon - Foto: FB FAM
A
A
A

PERLAWANAN persahabatan menentang Maldives di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur pada Rabu akan menjadi peluang terakhir kepada pemain menambat hati pengendali negara, Kim Pan-gon untuk terpilih ke saingan Piala AFF.

Bagi Pan-gon, beliau mahu melihat aksi terbaik dapat dipamerkan semua pemain selain elemen paling penting mampu beradaptasi dengan taktikal yang mahu diterapkannya.

"Mereka perlu bersaing sesama sendiri sebelum kami membuat keputusan untuk senarai akhir nanti. Saya harap setiap pemain dapat memberikan aksi terbaik dan buktikan mereka layak untuk beraksi di Piala AFF.

"Peluang setakat ini terbuka untuk semua pemain. Namun, pemilihan itu sudah tentu menjurus kepada beberapa perkara dengan keutamaan kepada taktikal yang kami mahu pemain sesuaikan diri.

"Saya juga mahu lihat karakter mereka, sifat agresif serta kebijaksanaan di atas padang," katanya dalam Sidang Media Praperlawanan Antarabangsa Tier 1 menentang Maldives di Wisma FAM, Kelana Jaya pada Selasa.

Dalam pada itu, Pan-gon mengakui berdepan detik sukar untuk membentuk pasukan yang mampu memenuhi jangkaan peminat mahu skuad negara mendapat keputusan baik dalam kempen Piala AFF kali ini.

Bagaimanapun, beliau yakin dan percaya kemampuan pemain baharu untuk cuba memberikan aksi luar biasa sepanjang kempen Piala AFF itu.

"Saat ini agak sukar kerana banyak pemain adalah pemain baharu selain tidak banyak perlawanan bersama. Tetapi, kami tetap fokus kepada peringkat ini.

Artikel Berkaitan:

"Setakat ini, saya gembira dan yakin dengan mereka. Dalam sesi latihan, kami buat latihan yang agak sukar dan sebagainya tetapi mereka berjaya laksanakan dengan baik.

"Pemain juga sayangkan negara mereka dan berdasarkan komitmen, mereka bersedia bermain sehabis baik untuk negara," katanya.

Skuad Harimau Malaya yang mula menjalani latihan pusat bermula 29 November lalu telah mengharungi perlawanan persahabatan menentang Kemboja menyaksikan skuad negara dibarisi ramai pemain muda dan muka baharu berjaya menang 4-0.

Untuk aksi Piala AFF, Malaysia diundi dalam Kumpulan B akan membuka kempen menentang Myanmar di Yangon pada 21 Disember, diikuti bertemu Laos di Bukit Jalil (24 Disember), Vietnam di Hanoi (27 Disember) dan menutup saingan kumpulan berdepan Singapura di Bukit Jalil pada 3 Januari depan.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!