Sampan kini jadi pengangkutan utama penduduk

Penduduk menggunakan sampan untuk meninjau keadaan rumah mereka yang ditenggelami banjir ketika tinjauan di Kampung Tersang, Rantau Panjang pada Selasa. - Foto Bernama
Penduduk menggunakan sampan untuk meninjau keadaan rumah mereka yang ditenggelami banjir ketika tinjauan di Kampung Tersang, Rantau Panjang pada Selasa. - Foto Bernama
A
A
A

PASIR MAS - Kampung Bawah Lembah, Rantau Panjang di sini boleh diibaratkan perkampungan nelayan apabila puluhan sampan milik penduduk diletakkan di tepi jalan utama berikutan kampung tersebut terkesan banjir sejak Sabtu lepas.

Sampan digunakan penduduk kampung sebagai ‘kenderaan rasmi’ mereka untuk ke jalan utama selepas kawasan kediaman mereka dinaiki air malah jalan utama sepanjang lima kilometer itu turut ditenggelami air lebih satu meter.

Seorang penduduk, Zaid Ismail, 52, berkata berikutan jalan yang terputus hubungan, penduduk terpaksa menggunakan sampan untuk berpindah ke pusat pemindahan sementara (PPS).

"Rata-rata penduduk di kampung ini memiliki sampan sendiri kerana apabila banjir, kampung ini boleh diibaratkan seperti lautan.

"Kami sudah terbiasa dengan situasi begini, justeru apabila banjir, sampan akan menjadi kenderaan rasmi kami untuk berpindah,” katanya kepada Bernama di sini pada Selasa.

Zaid berkata, beliau terpaksa berpindah ke PPS Sekolah Kebangsaan Gual Periok apabila halaman rumahnya dinaiki air hampir dua meter.

"Suasana seakan perkampungan nelayan ini akan berterusan sekurang-kurangnya lebih seminggu sebelum air banjir surut dan jalan raya boleh dilalui kenderaan,” katanya.

Ramli Che Awang, 55, pula berkata semua urusan pergerakan penduduk dalam tempoh banjir akan dilakukan menggunakan sampan.

Artikel Berkaitan:

"Sepanjang satu atau dua minggu ini kami akan menggunakan sampan kerana kereta dan motosikal terpaksa diletakkan di tempat yang tinggi.

"Ada penduduk perlu mendayung sampan sejauh satu kilometer meredah banjir untuk pulang melihat rumah mereka selepas ditinggalkan kerana bermalam di PPS,” katanya. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!