Bekas KPPA ambil tindakan undang-undang

Mohd Shafiq
Mohd Shafiq
A
A
A

PUTRAJAYA - [DIKEMAS KINI] Bekas Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA), Datuk Seri Mohd Shafiq Abdullah yang ditamatkan perkhidmatannya semalam, akan mengambil tindakan undang-undang terhadap pihak yang menganiayanya.

Menerusi kenyataan pada Selasa, Mohd Shafiq mendakwa, terdapat beberapa usaha untuk memburukkan reputasinya yang dilakukan tanpa henti menerusi pelbagai saluran media termasuk media sosial.

"Untuk makluman rakyat Malaysia, saya tidak pernah mengancam kepentingan awam dalam sebarang perkhidmatan dan tindakan semasa menjawat jawatan sebagai KPPA," katanya.

Menurut Mohd Shafiq, beliau tidak diberi notis munasabah berhubung penamatan perkhidmatan sebagai KPPA.

"Surat penamatan bertarikh 1 Disember, namun hanya diserahkan dan berkuat kuasa semalam (Isnin)," katanya.

Dakwa Mohd Shafiq, sejak menjawat jawatan itu 10 Februari lalu, terdapat usaha untuk menghalangnya bertindak dengan efisien serta segera apabila beberapa mesyuarat penting kenaikan pangkat telah ditangguh oleh Ketua Setiausaha Negara (KSN) seperti Mesyuarat Lembaga Kenaikan Pangkat Perkhidmatan Awam.

"Saya juga tidak boleh membuat keputusan sewenang-wenangnya untuk melantik dan memberikan kenaikan pangkat pegawai awam kerana ia perlu melalui mesyuarat lembaga," katanya.

Mohd Shafiq, 58, berkata, kelewatan mengadakan mesyuarat lembaga telah menyebabkan banyak jawatan penting kosong tidak dapat diisi dengan segera, terutama di peringkat pengurusan tertinggi kementerian atau agensi.

Artikel Berkaitan:

Jelasnya, jemaah menteri sebelum ini juga memutuskan untuk tidak mempertimbangkan penyambungan perkhidmatan pegawai awam secara kontrak bagi yang telah bersara.

Ini kerana dakwanya, ia akan memberikan beban kewangan kepada kerajaan dengan pembayaran pencen dan gaji pada masa yang sama.

"Pelaksanaan keputusan jemaah menteri ini juga tidak dapat dilaksanakan segera disebabkan tekanan oleh pihak berkepentingan.

"Saya berasa terkilan dengan keputusan kerajaan ke atas diri saya," katanya.

Dalam pada itu, Mohd Shafiq turut mengambil kesempatan menasihati semua pegawai awam agar menumpahkan taat setia kepada Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dan kerajaan yang memerintah, memegang prinsip integriti, tidak rasuah dan mendahulukan kesejahteraan rakyat.

"Demi menjaga nama baik dan kepentingan anggota perkhidmatan awam, keputusan kerajaan ini akan diteliti secara mendalam, sekiranya sesuai dan perlu semakan perundangan akan dilakukan.

"Besarlah harapan saya agar pegawai awam berusaha bersama memartabatkan perkhidmatan awam ke tahap yang lebih dinamik," katanya.

Mohd Shafiq dilantik memegang jawatan itu bagi menggantikan Tan Sri Mohd Khairul Adib Abd Rahman yang bersara wajib pada 16 Januari 2022.

Sebelum ini tular sepucuk surat penamatan tugas Mohd Shafiq bertarikh 1 Disember lalu yang ditandatangani KSN, Tan Sri Mohd Zuki Ali berkuat kuasa Isnin.

Keputusan penamatan kontrak itu dilapor dibuat setelah melalui semua prosedur bagi Penamatan Demi Kepentingan Awam (PDKA) dan telah diteliti keteraturannya oleh Jabatan Peguam Negara.

Penamatan itu adalah selaras dengan peraturan 49(3) Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993 [P.U. (A) 395/1993] dan dibersarakan mengikut subseksyen 10(5)(d) Akta Pencen 1980 [Akta 227] yang membolehkan beliau menikmati semua faedah persaraan yang layak baginya.

Mohd Shafiq pernah terpalit kontroversi sebelum ini apabila dituduh mengeluarkan kata-kata kesat terhadap Pegawai Jabatan Imigresen Malaysia yang bertugas di Lapangan Terbang Kuala Lumpur (KLIA).

Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) bagaimanapun menafikan tuduhan itu dan menjelaskan bahawa Mohd Shafiq hanya membuat teguran terhadap imigresen khususnya Ketua Penolong Penguasa Imigresen, James Lee berhubung ketidakpatuhan amalan serta prosedur.

Namun, beberapa pihak menggesa Mohd Shafiq melepaskan jawatannya secara terhormat ekoran isu moralnya itu disifatkan mencalar imej perkhidmatan awam.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!