Kisah TNB mewarnai kehidupan rakyat Malaysia

Bekalan tenaga TNB memudahkan perkembangan perindustrian negara, membantu dalam perdagangan dan diperlukan oleh semua entiti serta kegiatan masyarakat.
Bekalan tenaga TNB memudahkan perkembangan perindustrian negara, membantu dalam perdagangan dan diperlukan oleh semua entiti serta kegiatan masyarakat.
A
A
A

Orang ramai hanya ingat Tenaga Nasional Berhad (TNB) apabila bergelap kerana mudahnya menyalakan lampu atau apa sahaja perkakas elektrik dengan hanya memetik suis, sekali gus menjadikan kehidupan harian masing-masing begitu selesa.

Itu manfaat yang mereka nikmati tanpa ambil tahu apa kerja-kerja perlu dilakukan siang mahu pun malam, melibatkan ratusan ribu tenaga kerja TNB menempuhi pelbagai kisah dan peristiwa bagi membekalkan elektrik sejak sebelum Malaya mendapat kemerdekaan.

Bermula pada 1949 sebagai Lembaga Letrik Pusat (CEB), ia digazetkan sebagai Lembaga Letrik Negara (LLN) sebelum dikorporatkan dengan nama TNB. Daripada menukar pelita minyak tanah kepada api dalam kaca, menjadi pemangkin mengubah desa menjadi pekan, bandar kecil berkembang sebagai bandar raya dan akhirnya muncul kota metropolitan.

Cahaya itu telah menerangi kehidupan rakyat; dan Malaysia telah mencatat kemajuan daripada hanya kegiatan pertanian dan perlombongan kepada negara yang begitu pelbagai ekonominya hari ini.

Bekalan tenaga TNB memudahkan perkembangan perindustrian negara, membantu dalam perdagangan dan diperlukan oleh semua entiti serta kegiatan masyarakat.

Ia menerangi kediaman dan tempat kerja, menyalurkan tenaga kepada kilang dan industri, memacu kemajuan dan menawarkan pelbagai peluang, termasuk merangsang perniagaan serta peluang pekerjaan. Ia dibekalkan melalui 25,185 km talian penghantaran dan 723,134 km rangkaian pembahagian.

Hampir setiap insan disentuhinya apabila meliputi 99.9 peratus Semenanjung Malaysia mendapat bekalan elektrik TNB dengan sejumlah 9.66 juta pelanggan bersama skor indeks kepuasan pelanggan melebihi angka 8 (8.7 daripada 10 pada 2021)

Bekalan tenaga TNB diperlukan dan dinikmati 24 jam sehari, 365 hari setahun, siang mahu pun malam, ketika jaga atau pun tidur. Pengguna boleh bingkas bangun apabila tiba-tiba bilik tidurnya berasa berbahang kerana kipas berhenti berputar atau pendingin hawa tidak berfungsi disebabkan bekalan terputus.

Artikel Berkaitan:

Tidak setakat itu, manfaat terus dinikmati rakyat apabila TNB memberi kembali kepada negara menerusi sokongan dan sumbangan besarnya kepada masyarakat melalui pelbagai program tanggungjawab korporat serta pemberian dividen, antara lain pelaburan dalam pendidikan seperti penyediaan biasiswa dan bantuan kewangan kepada pelajar.

Dalam tempoh 2018-2021, TNB mengagihkan RM28 bilion bagi pelbagai pembiayaan termasuk tanggungjawab korporat yang meliputi pendidikan seperti pemberian biasiswa dan dermasiswa; ekonomi dan sosial termasuk bantuan pemilikan kediaman untuk B40 menerusi Program Baiti Jannati dan Program Mesra Rakyat; alam sekitar meliputi penanaman pokok dan pemuliharaan habitat kelip-kelip serta sukan, khususnya penajaan program hoki negara.

Pembayaran dividen tinggi mencecah RM10.4 bilion bukan sahaja memberi manfaat kepada pelabur institusi tetapi juga rakyat biasa yang telah menyumbang menerusi caruman kepada Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) atau pendeposit Tabung Haji, selain Permodalan Nasional Berhad dan Kumpulan Wang Persaraan.

Begitu juga pembayaran cukai & zakat berjumlah RM9 bilion di samping kontrak kepada vendor tempatan bernilai RM10 bilion, yang dapat memberi impak kepada pelbagai pasaran dan aktiviti perniagaan.

Tahun lalu, apabila TNB mengumumkan aspirasi ke arah sifar karbon menjelang 2050 dalam

komitmennya terhadap agenda alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG), ia bakal membuka peluang-peluang perniagaan baharu untuk dimanfaatkan bersama rakyat dan negara.

Inisiatif itu sedang dipercepatkan dengan mengguna pakai teknologi hijau hidrogen di tapak loji jana kuasa sedia ada dan menambah baik kecekapan loji termal dalam usaha meningkatkan portfolio penjanaan Tenaga Boleh Baharu (TBB) untuk mencapai 8,300MW pada 2025.

Transformasi ini menjadi lebih bermakna dengan penawaran meter pintar kepada pelanggan agar mereka menjadi lebih bijak merancang penggunaan tenaga, dipermudahkan pula dengan aplikasi layan diri di hujung jari menerusi telefon pintar untuk pelbagai perkhidmatan termasuk menyemak, membayar bil bulanan, memohon bekalan elektrik atau menutup akaun.

Itulah kisah pertumbuhan TNB, berkat muafakat pemimpin dan warga kerja sejak dahulu yang silih berganti menjunjung agenda nasional dan amanah rakyat jelata. Tidak dapat dipertikaikan bahawa TNB telah menjadi kebanggaan rakyat dan negara selama lebih tujuh dekad.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!