Manifesto PH sekadar janji manis semata: Saarani

Datuk Saarani
Datuk Saarani
A
A
A

IPOH - Manifesto PRU14 Pakatan Harapan (PH) Perak untuk mewujudkan institusi DUN yang berintegriti disifatkan sekadar janji manis semata-mata.

Ketua Pembangkang Perak, Datuk Saarani Mohamad berkata, antara reformasi yang digembar-gemburkan oleh PH ialah melantik wakil rakyat pembangkang sebagai Pengerusi Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negeri (PAC) yang masih belum dilaksanakan di DUN Perak walaupun ia telah dilaksanakan di Parlimen.

Menurutnya, lebih mengecewakan lagi apabila pengerusi dan timbalan pengerusi PAC masing-masing terdiri daripada wakil rakyat DAP.

"Yang menjadi persoalan kenapa gentar melantik Adun Pembangkang sebagai Pengerusi PAC jika PH benar-benar mahu menunaikan janji manifesto mereka? Pelbagai alasan diberikan termasuk oleh Speaker DUN Perak, Datuk Ngeh Koo Ham yang menyatakan kononnya tidak dapat diserahkan jawatan kepada pihak pembangkang kerana mahu membongkar segala salah laku kerajaan terdahulu.

"Jika ini alasannya ia amat mendukacitakan kerana tindakan itu mengandungi perasaan untuk membalas dendam dan 'witch-hunting'. Hatta di peringkat Dewan Rakyat yang dikuasai oleh PH pun tidak menggunakan alasan seperti yang dinyatakan oleh Koo Ham," katanya menerusi kenyataan kepada media hari ini.

Saarani berkata, integriti DUN perlu dipertahankan dan tidak dijadikan sebagai pentas mencipta persepsi atau membuat tuduhan sewenang-wenangnya dengan berselindung di sebalik imuniti sebagai seorang wakil rakyat.

Menurutnya, PH perlu belajar menjadi kerajaan yang bertanggungjawab dan bukan bermentaliti pembangkang yang mencari kesalahan sebagai satu alasan untuk memungkiri janji pilihanraya mereka.

"Kerajaan perlu menjadi kerajaan yang sebenar dan bukan kerajaan yang mempunyai sifat-sifat pembangkang serta pembalas dendam.

Artikel Berkaitan:

"Kerajaan Negeri PH mesti mentadbir negeri demi kesejahteraan rakyat, bukan menoleh ke belakang merekacipta kesalahan bagi menjadikan alasan untuk tidak menunaikan janji," katanya.

Untuk rekod, Pengerusi PAC Perak merupakan wakil rakyat DAP iaitu ADUN Malim Nawar, Leong Cheok Keng manakala Timbalan Pengerusinya pula juga wakil rakyat DAP iaitu ADUN Keranji, Chong Zhemin.

PAC Perak turut dianggotai Adun Teja, Sandrea Ng dari PKR; Adun Pasir Panjang, Yahaya Mat Nor dari Amanah dan Adun Gunung Semanggol, Razman Zakaria daripada Pas manakala dua lagi ahli dari BN iaitu Adun Slim, Datuk Mohd Khusairi Abdul Talib dan Adun Pengkalan Hulu, Datuk Aznel Ibrahim.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!