Daripada gadis biasa, kini menjadi YB
NAMA Rara atau Young Syefura Othman, 30, sudah semakin dikenali. Bukan sahaja kerana pesona wajahnya namun sisi hebat wanita anggun ini berpidato. Tiada siapa menafikan kehadiran Rara dalam kancah politik begitu mencuri perhatian lantaran keputusan besarnya menyertai parti yang didominasi kaum Cina, DAP.
Perjalanan politiknya bagaikan direstui apabila beliau diberi mandat sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ketari pada Pilihan Raya Umum tahun lalu.
"Saya bersyukur kerana diberi kepercayaan, kini saya sedang memenuhi tanggungjawab saya sebagai wakil rakyat," katanya.
Ketepikan seketika soal politik. Rara yang hadir memenuhi temu janji Inspirasi Femina baru-baru ini berkongsi sisi lain dirinya yang ramai tidak tahu. Beliau sungguh sporting menjawab pelbagai soalan yang dilontarkan. Ikuti wawancara kami bersama beliau.
1) Boleh Yang Berhormat (YB) ceritakan bagaimana boleh terjebak dalam dunia politik?
Sebenarnya, politik tidak jauh dengan saya dan keluarga kerana ibu dan bapa mempunyai latar belakang dalam arena politik. Mereka pernah terlibat sebagai aktivis Pas. Bila ada pilihan raya, ceramah atau program, saya selalu ikut mereka.
Saya juga sentiasa mengikuti perkembangan semasa dunia politik tanah air. Jiwa saya begitu membara ketika Perhimpunan Bersih 2.0. Saya fikir kenapa perkara ini berlaku? Bermula dari situ, terdetik untuk mahu tahu lebih jelas tentang isu sebenar.
Bagaimanapun, ketika itu saya masih bergelar pelajar, terpaksa pendam dahulu hasrat untuk menceburkan diri dalam dunia politik. Beberapa tahun kemudian, ketika saya bersama abang membuka Klinik Rawatan Alternatif (bekam dan akupuntur), saya mula berjinak-jinak. Saya ada masa sendiri dan kemudian terbabit sebagai aktivis.
2) YB memiliki Diploma Kejururawatan, tidakkah YB rasa rugi apabila bidang yang diceburi berbeza dengan latar belakang pendidikan?
Tidak sekali-kali. Kedua-dua bidang ini saling ada kaitannya. Ketika saya jadi jururawat, saya memang mudah simpati dengan orang susah dan orang sakit. Saya akan jaga mereka dengan baik hingga mereka keluar hospital.
Dalam politik pun sama. Kita nak pastikan polisi-polisi yang baik untuk mereka, lebih-lebih lagi mereka yang betul-betul perlukan perhatian kita. Jadi, benda itu tak lari jauh pun, konsepnya hampir sama iaitu kita nak rawat orang sakit dan membantunya. Begitu juga dengan politik, saya bantu orang juga. Lebih-lebih lagi yang susah.
3) Dunia politik perlu pengorbanan yang besar dari segi masa dan tenaga, adakah pernah YB terfkir untuk berpatah balik sebagai orang biasa?
Sebenarnya, saya seorang yang lasak dan aktif, memang tak boleh duduk diam. Bidang politik memang kena dengan jiwa saya. Saya suka pergi ke tempat-tempat yang tak pernah saya pergi. Ya, memang saya pernah pusing semua negeri cuma kawasan pedalaman memang tak pernah.
Dunia politik banyak mengajar saya bertemu orang ramai secara terus, jadi saya lebih faham situasi sebenar yang berlaku bila turun padang. Saya lebih selesa bergerak daripada duduk diam di pejabat. Walaupun sibuk dan penat, namun, saya seronok.
Saya akui ada orang cakap, wanita kalau muka cantik lebih baik jadi model daripada wakil rakyat. Kecantikan terlalu subjektif, ya. Itu tambahan sahaja. Bila terlalu penat, kadang-kadang terlintas juga di fikiran 'penatnya kerja jadi wakil rakyat sebab kerja tak habis-habis'. Apalagi bila kena marah dengan orang ramai. Namun, perasaan itu bersifat sementara.
4) Sebagai wakil rakyat, pasti banyak tekanan yang YB hadapi. Bagaimana YB menghadapi tekanan tersebut?
Benar, dimaki dan dimarah di media sosial paling membuatkan saya tertekan. Saya tak buat apa-apa pun tapi kena marah dan maki dengan netizen walhal yang buat kenyataan pemimpin lain. Biasalah, zaman media sosial senang bagi netizen melempar kemarahan mereka.
Bagi saya bila tertekan, saya akan cepat-cepat fikirkan perkara positif yang telah saya buat dan kejayaan yang telah menggembirakan penduduk di Ketari. Selain itu, saya akan cari masa untuk hiburkan diri sendiri sepertimana wanita lain sama ada tengok wayang, pergi membeli belah, buat rawatan kuku dan sebagainya.
Ya, saya akan curi masa untuk diri sendiri. Biasanya saya akan ambil cuti sehari untuk diri saya. Saya tak nak sebarang gangguan atau berjumpa sesiapa pada hari berkenaan.
5) Boleh kongsikan jadual harian YB sejak bergelar wakil rakyat selepas menang Pilihan Raya Umum Ke-14 lalu?
Jadual telah disusun lebih awal oleh pembantu bagi memudahkan pergerakan saya. Jadualnya berbeza setiap hari. Seperti juga wakil rakyat lain, ada program bermula pagi, kadang-kadang lewat malam baru habis.
Setiap Jumaat pula ada program ziarah kasih yang mana saya akan pergi lawat orang sakit dan susah. Jika ada kelapangan, saya pergi jumpa penduduk dan lawat kawasan. Dua minggu sekali saya akan buka kaunter bergerak bagi memudahkan penduduk Ketari mengadu masalah masing-masing.
Tambahan lagi perlunya kaunter bergerak ini kerana kawasan saya besar dan kedudukannya jauh dari bandar. Pejabat saya di bandar. Jadi, saya yang perlu jumpa penduduk bukan mereka yang datang kepada saya.
6) Meskipun belum masuk sepenggal, pastinya YB ada peristiwa pahit dan manis sebagai wakil rakyat. Boleh YB kongsikan kepada umum?
Berkenaan peristiwa pahit, Alhamdulillah, selama saya jadi ADUN di sini tak pernah lagi berlaku perkara yang pelik-pelik yang membahayakan nyawa saya. Keadaan di sini masih terkawal. Cuma banyak isu di Ketari yang melibatkan campur tangan kerajaan negeri seperti isu tanah, pembalakan haram dan isu sungai.
Isu-isu ini agak sukar untuk diselesaikan kerana ia melibatkan campur tangan banyak pihak. Berkenaan perkara yang manis pula, memang banyak. Contohnya, bila saya dapat bantu ringankan beban keluarga miskin, ia sesuatu yang menyeronokkan.
Di Ketari, terdapat enam perkampungan orang asli. Setiap bulan saya akan lawat kampung-kampung tersebut. Seperkara, saya penggemar durian. Bila musim buah, pelbagai jenis buah-buahan saya dapat. Penduduk Orang Asli betul-betul meraikan dan menghargai saya. Itu saya tak boleh lupa sampai bila-bila.
7) Jika tidak bergelar wakil rakyat, siapa YB sekarang?
Ketika di bangku sekolah, saya sangat aktif dengan Kadet Bomba. Ya, saya suka sangat dengan badan beruniform. Bagi saya, orang yang pakai uniform segak. Selepas tamat persekolahan, saya pernah belajar bidang kejururawatan dan pernah bertugas sebagai jururawat peribadi.
Namun, sekejap sahaja. Andaikata saya ditakdirkan tidak menjadi jururawat dan ahli politik, mungkin saya sudah jadi bomba. Kadang-kadang terdetik juga di hati, rasa penatnya jadi wakil rakyat kerana kekangan masa dan tenaga sehinggakan saya pernah meluahkan rasa itu kepada rakan-rakan.
8) Dari segi kesihatan pula, bagaimana YB mengurus diri?
Seperti wanita lain, saya juga ada amalkan pengambilan vitamin seperti minyak kelapa dara dalam bentuk pil untuk menambahkan tenaga. Sebenarnya, saya bukan jenis yang rajin bersukan tetapi saya ada berlari dan hiking bagi mengeluarkan peluh.
Kalau tanya pasal kecantikan, sukar saya nak jawab sebab saya paling malas nak cuci muka. Biasanya, program yang saya hadir tengah malam baru habis. Saya akan penat dan bila sampai rumah terus tidur tanpa membersihkan muka.
9) Dalam kesibukan sebagai wakil rakyat, bagaimana YB membahagikan masa di antara tugas, rakan baik dan keluarga?
Soal pembahagian masa tiada masalah buat saya. Biasanya, bila saya ada di kawasan, saya akan tumpukan sepenuh perhatian untuk penduduk dan masalah yang timbul. Saya ada dua rumah masing-masing di Bentong dan Kuala Lumpur.
Bila saya ada di Bentong, ibu bapa saya kerap datang dan kami akan habiskan masa bersama-sama. Cuma saya jarang balik ke kampung ibu bapa di Durian Tunggal, Melaka. Ibu bapa saya sangat memahami, mereka tak kisah jika saya bawa mereka ke program dan sertai aktiviti di kawasan saya.
10) Dunia politik tidak akan memberi jaminan selama-lamanya buat seseorang pemimpin. Apa pandangan YB dan ada perancangan alternatif?
Saya nak tengok apa perubahan yang berlaku dalam tempoh lima hingga 10 tahun akan datang. Adakah saya masih diberi peluang oleh parti untuk mendapatkan khidmat saya atau sebaliknya? Semuanya saya serah kepada parti, saya hanya buat kerja. Biar parti yang menilai.
Saya kira saya tak akan berada terlalu lama dalam dunia politik sebab politik ini bila-bila masa boleh berubah, sekejap ke kiri dan sekejap ke kanan. Hari ini mungkin musuh dan esok mungkin boleh jadi kawan baik.
Justeru itu, saya harus sentiasa bersedia dengan sebarang kemungkinan yang akan berlaku. Dunia politik di negara kita memang sukar untuk diramal.Sepertimana wanita lain, saya akan tengok wayang, pergi membeli belah, buat rawatan kuku dan sebagainya.
Andaikata saya ditakdirkan bukan sebagai jururawat dan ahli politik, mungkin saya sudah jadi bomba. Saya memang minat dengan kerjaya ini.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!