Benteng Harimau Malaya cepat serasi

Ahmad Khuzaimi (kanan) menyifatkan kesemua pemain negara menunjukkan komitmen terbaik dalam sesi latihan dan perlawanan persahabatan.
Ahmad Khuzaimi (kanan) menyifatkan kesemua pemain negara menunjukkan komitmen terbaik dalam sesi latihan dan perlawanan persahabatan.
A
A
A

PEMAIN Harimau Malaya terutama di benteng pertahanan tidak berdepan masalah untuk membentuk keserasian walaupun pasukan yang akan beraksi di Piala AFF kali ini dibarisi ramai pemain muda dan muka baharu.

Pemain pertahanan negara, Ahmad Khuzaimi Piee berkata, kesemua pemain juga menunjukkan komitmen sekali gus bersedia untuk memberikan aksi terbaik dalam saingan yang akan membuka tirainya pada 21 Disember ini.

Menurutnya, tanpa kehadiran pemain kacukan Malaysia-Belgium, Dion Cools dalam dua aksi persahabatan menentang Kemboja dan Maldives juga memberikan ruang buat gandingan baharu diuji di posisi tersebut.

"Ketiadan Dion Cools buat masa ini menyaksikan kita dapat satu gandingan baharu dalam setiap perlawanan persahabatan dan ia bukan satu masalah bagi saya dan pemain lain untuk serasi.

"Sebelum ini pun kita dah berlatih bersama, ia tidak ambil masa lama untuk kami serasi. Apa yang penting setiap pemain dapat beri komitmen dalam pasukan," katanya dalam Sidang Media Praperlawanan Antarabangsa Tier 1 menentang Maldives di Wisma FAM, Kelana Jaya pada Selasa.

Cools yang turut dinamakan sebagai kapten Harimau Malaya dijangka menyertai skuad negara pada Jumaat ini.

Harimau Malaya sebelum ini telah membelasah Kemboja 4-0 dalam aksi persahabatan dan akan mengharungi satu lagi perlawanan menentang Maldives di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras pada Rabu sebelum bermulanya aksi Piala AFF.

Untuk aksi Piala AFF, Malaysia diundi dalam Kumpulan B akan membuka kempen menentang Myanmar di Yangon pada 21 Disember, diikuti bertemu Laos di Bukit Jalil (24 Disember), Vietnam di Hanoi (27 Disember) dan menutup saingan kumpulan berdepan Singapura di Bukit Jalil pada 3 Januari depan.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, Ahmad Khuzaimi menyifatkan perlawanan menentang Maldives tidak boleh dipandang mudah dan pemain perlu mengikuti setiap taktikal yang dimahukan Pan-Gon.

"Bagi saya, perlawanan menentang Maldives satu perlawanan yang sukar. Saya harap setiap pemain dapat beri persembahan yang terbaik dan ikut taktikal yang dimahukan jurulatih," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!