99 Speedmart lancar Kempen Beli Barangan Malaysia
SHAH ALAM - 99 Speedmart pada Isnin telah melancarkan Kempen Beli Barangan Malaysia (KBBM) yang menampilkan sebanyak 50 barangan tempatan terpilih dari 13 hingga 31 Disember ini.
Kempen tersebut dilakukan selaras dengan falsafahnya untuk memperkasakan masyarakat tempatan sekali gus membolehkan perusahaan dan perniagaan tempatan berkembang maju.
Pengarah Eksekutifnya, Ng Lee Tieng berkata, 99 Speedmart sentiasa menjadi penggalak produk tempatan, dengan lebih daripada 60 peratus daripada pendapatan datang daripada produk Buatan Malaysia.
"Kami komited sepenuhnya untuk mempromosikan produk Buatan Malaysia ke peringkat seterusnya dengan sasaran mencapai RM5 bilion pada tahun fiskal 2023 kami. Dengan sokongan daripada pembekal tempatan kami, kami akan mencapainya,” katanya semasa Majlis Makan Malam sempena meraikan Ulang Tahun ke-35 pada Isnin.
Turut hadir, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Seri Salahuddin Ayub dan Ketua Setiausaha Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Datuk Azman Mohd Yusof.
Menurut Salahuddin, 99 Speedmart telah menjadi penanda aras dalam sektor peruncitan kerana telah berjaya mengurangkan kos operasi keseluruhannya selain membuka lebih banyak cawangan dan menawarkan barangan pada harga yang sangat berpatutan.
“Saya ingin mengucapkan tahniah dan terima kasih kepada Pengasasnya, Lee Thiam Wah dan pasukannya kerana membantu negara dengan menawarkan barangan keperluan pengguna pada harga yang berpatutan,” ujarnya.
Tambah Salahuddin, peruncit-peruncit lain perlu mencontohi pasar mini 99 Speed Mart oleh kerana syarikat itu mampu melaksanakan penjimatan kos operasinya.
Kata beliau, hasil daripada penjimatan tersebut dapat dikongsikan bersama rakyat dengan cara menurunkan harga barangan yang lebih murah kepada pembeli.
Selain itu, 99 Speedmart juga komited terhadap kelestarian alam sekitar dengan memasang panel solar di semua pusat pengedaran untuk mencapai status bangunan GreenRE, dan pemasangan sistem penyejukan barangan yang menggunakan 40 hingga 45 peratus kurang tenaga.
Menurut Lee Tieng, semua usaha yang dilakukan itu adalah untuk menyokong sasaran Malaysia untuk mencapai Pelepasan Karbon Sifar Bersih menjelang 2050.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!