Tiga 'badang' negara mungkin tak sertai Sukan SEA 2023

Aniq menyumbang pingat emas pada Sukan Komanwel Birmingham 2022.
Aniq menyumbang pingat emas pada Sukan Komanwel Birmingham 2022.
A
A
A

TIGA atlet angkat berat negara berkemungkinan tidak akan menyertai Sukan SEA Kemboja 2023, sebaliknya akan memberi tumpuan menyertai kejohanan yang menawarkan mata kelayakan ke Sukan Olimpik Paris 2024.

Presiden Persekutuan Angkat Berat Malaysia (PABM), Datuk Ayub Rahmat berkata, tiga atlet berkenaan melibatkan dua pemenang pingat emas Sukan Komanwel Birmingham 2022 - Mohamad Aniq Kasdan dan Muhammad Aznil Bidin serta Muhammad Erry Hidayat.

“Tahun hadapan PABM akan tumpukan kejohanan bagi kelayakan ke Sukan Olimpik Paris 2024, namun tahun hadapan juga ada Sukan SEA di Kemboja, maka kita kena buat pilihan.

“Atlet yang pergi ke kelayakan Olimpik kemungkinan tidak akan dihantar ke Sukan SEA kerana ada kejohanan mengumpul mata kelayakan di Korea Selatan yang agak sama tarikhnya,” katanya.

Sementara itu, beliau bangga dengan pencapaian atlet angkat berat negara sepanjang musim 2022 dalam pelbagai kejohanan antarabangsa.

“Penilaian atlet ke Kemboja akan berdasarkan kepada Kejohanan Kebangsaan dan kita akan tetapkan pencapaian yang mereka harus capai, hanya apabila mereka capai sesuatu angkatan dari situ mereka layak ke Sukan SEA.

“Sebelum ini, kita ada lapan atlet (termasuk Aniq, Aznil dan Erry), lagi lima atlet kita akan buat penilaian sekiranya mereka layak dan atlet pelapis juga akan kita perhatikan. Mungkin mulai tahun hadapan baru kita akan lihat prestasi dan kelayakan mereka,” ujarnya.

Pada Sukan SEA ke-31 di Hanoi Mei lepas menyaksikan Aniq berjaya membawa pulang gangsa acara 55 kilogram (kg), manakala Aznil merangkul perak kategori 61kg dan Erry terpaksa berpuas hati dengan gangsa bagi kategori 73kg lelaki. - Bernama

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!