Perwakilan diplomatik diharap angkat imej Malaysia: TPM
SHAH ALAM - Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berharap semua Ketua Perwakilan Diplomatik yang bakal berkhidmat di beberapa negara dapat mengangkat imej Malaysia di persada dunia.
Menurut beliau, perkara itu penting bagi memastikan negara ini menjadi destinasi pelaburan serantau berimpak tinggi sekali gus merancakkan pertumbuhan ekonomi.
“Petang ini, saya berkesempatan mengadakan pertemuan dengan Ketua-Ketua Perwakilan Diplomatik Malaysia ke luar negara yang akan mula bertugas di beberapa negara seperti Emiriah Arab bersatu, Vietnam, Jerman, Pakistan dan New Zealand.
“Saya mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan selamat bertugas dan berharap agar seluruh ketua-ketua perwakilan diplomatik yang hadir dapat berkhidmat dengan cemerlang bagi mengangkat imej Malaysia di persada antarabangsa.
“Diharapkan usaha-usaha diplomasi yang dijalankan dapat merancakkan lagi pertumbuhan ekonomi negara ke arah menjadi destinasi pelaburan serantau yang berimpak tinggi serta lestari,” katanya dalam hantaran di Facebook pada Selasa.
Ahmad Zahid berkata, beliau yakin tugasan yang dipertanggungjawabkan kepada mereka itu dapat dilaksanakan dengan baik.
Jelasnya, usaha keras mesti dilakukan antara Malaysia dengan negara luar agar dapat menikmati manfaat bersama.
“Saya yakin dan percaya bahawa tugasan yang diberikan ini akan dilaksanakan dengan baik dan segala usaha perlu dilakukan bagi memastikan hubungan dua hala antara negara-negara yang berkenaan dapat ditingkatkan ke tahap yang lebih komprehensif serta memberi manfaat kepada semua,” ulas beliau.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!