Bina bonggol jalan biar nyawa tak melayang, kereta tak terbang
ADA yang memanggilnya bonggol halimunan, tidak kurang pula menggelarnya bonggol maut ke alam barzakh. Kisah bonggol jalan yang berbahaya tular lagi di media sosial minggu ini.
Kali ini melibatkan bonggol yang dibina berhampiran Universiti Selangor (Unisel) di Shah Alam. Dalam video yang tersebar, ada kereta melambung seperti hendak terbang selepas melanggarnya. Motosikal pula melompat macam kuda tetapi mujur tidak tersungkur.
Kebanyakan kenderaan dilihat bergerak laju seolah-olah pemandunya tidak sedar ada bonggol pejalan kaki di depan. Merak Jalanan difahamkan bonggol itu dibina susulan seorang pelajar universiti berkenaan maut akibat kemalangan di situ tak lama dulu.
Yang menjadi masalah ialah ia jalan utama dan menurun bukit pula. Mereka yang tak biasa lalu di situ memang mudah terkena. Khabarnya pihak berkuasa sedang membaiki bonggol berkenaan.
Cerita bonggol jalan ini sudah banyak kali Merak Jalanan dengar. Ramai tak suka kerana terpaksa perlahankan kenderaan. Minyak kereta pula boleh cepat habis sebab kerap guna gear rendah.
Namun meskipun dibenci, jasanya besar kepada keselamatan orang ramai. Ia dibina supaya sesebuah kenderaan memperlahankan kelajuan secara paksa di sesuatu lokasi. Yelah, bukan semua pemandu reti bahasa. Lebih-lebih lagi di kawasan tumpuan seperti sekolah, masjid dan taman permainan.
Kenderaan dipandu laju di kawasan penempatan memang menjengkelkan. Di Jertih, Terengganu seorang penduduk kampung pernah membina 11 bonggol di jalan tepi rumahnya menggunakan duit i-Sinar tahun lalu.
Rupanya dia sudah tak tahan bunyi bising kenderaan tak kira siang malam sampai mengganggu tidurnya. Tapi disebabkan bonggol itu banyak sangat, ia menyusahkan orang ramai pula.
Bonggol jalan bukanlah tak bagus tetapi kena bina ikut spesifikasi dan peraturan ditetapkan supaya kereta tak terbang, nyawa pejalan kaki tak melayang gara-gara kereta dipandu laju.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!