Kerajaan tak cadang laksana ELV: Anthony Loke

Gambar hiasan. Gambar kecil: Anthony Loke
Gambar hiasan. Gambar kecil: Anthony Loke
A
A
A

PUTRAJAYA - Menteri Pengangkutan Anthony Loke Siew Fook hari ini menafikan kerajaan akan melaksanakan dasar Tempoh Jangka Hayat Kenderaan (ELV) walaupun ada kajian dilakukan mengenai perkara itu sebelum ini.

Malah kata beliau, kerajaan tidak bercadang untuk menimbang pelaksanaan dasar tersebut yang mewajibkan kenderaan lama lulus pemeriksaan sebelum dapat memperbaharui insurans dan cukai jalan.

"Orang ramai tidak perlu bimbang kerana selain belum ada dasar seperti ELV, kerajaan juga tidak bersedia menimbang dasar seperti itu," katanya.

Anthony Loke mengulas laporan akhbar berbahasa Cina yang memetik kenyataan Ketua Pegawai Eksekutif Institut Automatif, Robotik dan IoT Malaysia (MARii) Datuk Madani Sahari bahawa kerajaan dijangka mengumumkan semakan dasar kereta nasional pada suku kedua tahun ini dan mempromosikan ELV.

Bercakap pada sidang media selepas merasmikan sambutan Hari Jabatan Perngangkutan Jalan (JPJ) ke-73 di sini, Anthony Loke berkata dasar semasa ialah mewajibkan semua jenis kenderaan tanpa mengira usia, menjalani pemeriksaan di Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer sekiranya gagal memperbaharui cukai jalan melebihi tempoh setahun.

"Ini sebahagian proses mengaktifkan semula cukai jalan dan insurans," katanya.

Sementara itu, Anthony Loke berkata sistem ujian memandu kenderaan 'e-testing' yang kini dijalankan secara percubaan di tiga institusi pemanduan di Johor, akan dilaksanakan sebelum penghujung tahun ini.

E-testing lebih telus kerana pelajar dinilai tanpa faktor campur tangan manusia dengan sistem dipantau menggunakan kamera litar tertutup (CCTV) di dalam kenderaan tanpa anggota JPJ perlu berada di sebelah pelatih, katanya.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, Anthony Loke berkata pelaksanaan projek rintis JPJeBid dilaksanakan selama lima hari bermula hari ini dengan menjadikan siri "FC" Putrajaya sebagai perintis untuk membida nombor pendaftaran kenderaan dalam talian.

Beliau berkata mereka yang berminat boleh mendaftar melalui portal www.JPJeBid.gov.my dan pemenang akan diumumkan pada jam 12 tengah hari, Sabtu ini. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!