17 GRO warga asing ditahan
MELAKA - Jabatan Imigresen Melaka menahan seramai 17 wanita warga asing yang disyaki bekerja sebagai pelayan pelanggan (GRO) ketika sedang leka berhibur dan melayan pelanggan dalam tiga serbuan berasingan di sekitar bandar raya ini, Isnin lepas.
Pengarahnya, Anirwan Fauzee Mohd Aini berkata, kesemua mereka berusia antara 20 hingga 30 tahun itu ditahan dalam serbuan di dua pusat hiburan dan sebuah pusat refleksologi pada kira-kira jam 9 malam.
"Wanita yang ditahan merupakan warga Vietnam, Thailand, Laos dan China. Ketika serbuan itu juga ada dalam kalangan mereka cuba melarikan diri dan bersembunyi, namun gagal.
"Hasil risikan yang dijalankan, kita mendapati mereka dipercayai diuruskan oleh ejen yang bergerak dari satu tempat ke satu tempat berdasarkan permintaan tinggi pelanggan mengikut lokasi yang berbeza,” katanya dalam satu kenyataan di sini, pada Rabu.
Mengulas lanjut, Anirwan berkata, siasatan awal mendapati GRO warga asing ini bergiat aktif pada hujung minggu dan seorang lelaki warga tempatan turut ditahan untuk siasatan lanjut.
Beliau berkata, antara kesalahan dikenal pasti ialah tiada sebarang dokumen pengenalan diri, tinggal lebih masa, melanggar syarat pas/permit dan lain-lain kesalahan di bawah Akta dan Peraturan-Peraturan Imigresen.
Pemeriksaan lanjut mendapati premis hiburan itu baharu dibuka dan tidak mempunyai lesen selain beroperasi dalam keadaan mencurigakan iaitu pintu utama ditutup rapat serta terdapat laluan khas dikawal penjaga di luar premis berkenaan,” katanya.
Sementara itu, beliau berkata, dalam beberapa serbuan di sekitar Bandaraya Melaka pada hari yang sama, seramai 23 warga asing termasuk dua lelaki turut ditahan membabitkan 12 warga Vietnam, Thailand (empat), Myanmar (dua), Indonesia (tiga) dan masing-masing seorang warga Laos dan China.
Anirwan berkata, operasi oleh Bahagian Penguatkuasa Jabatan Imigresen Melaka itu melibatkan kekuatan 20 anggota dan aduan diterima daripada orang awam dan penduduk setempat.
"Operasi bermula sekitar jam 11 pagi dan tamat pada jam 1 pagi keesokannya itu telah menyerbu lokasi seperti medan selera, bengkel membaiki kereta dan kafe hiburan disyaki menggaji warga asing dan kita juga sedang mengesan pemilik kafe hiburan tersebut untuk tindakan lanjut," katanya.
Anirwan berkata kesemua warga asing yang ditahan dibawa ke pejabat Imigresen Bahagian Penguatkuasa untuk siasatan lanjut.
"Objektif utama operasi adalah untuk mengesan dan membanteras kebanjiran warga asing khususnya pedatang tanpa izin dan mengesan mana-mana individu yang cuba melindungi pendatang asing selain mengambil kesempatan mengaut keuntungan daripada mereka,” katanya. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!