Kebaya labuh jadi trending Aidilfitri
SETIAP kali menjelang Aidilfitri, golongan wanitalah yang paling sibuk mencari koleksi baju raya untuk diri sendiri, suami dan anak-anak. Mereka tetap mahu kelihatan cantik persis model walaupun segelintirnya menyedari mereka berbadan gempal dan berisi.
Namun, itu semua bukan masalah. Percaya atau tidak, demi untuk nampak cantik, ada sesetengah wanita yang sanggup menjelajah berpuluh-puluh butik dan pasar raya demi mendapatkan pakaian yang didambakan.
Kini, rasanya anda tidak perlu lagi bersusah-payah mencari saiz baju yang sesuai di butik atau pusat beli-belah.
Ini kerana Zalora Malaysia bersedia membantu kaum Hawa mendapatkan baju idaman. Dari segi saiz, warna dan juga reka bentuk, anda tidak perlu risau. Semua disediakan!
Fesyen trending
Melalui platform Zalora, jenama daripada beberapa pereka tersohor seperti Rizalman Ibrahim, Jovian Mandagi, Datuk Tom Abang Saufi, Syaiful Baharim, Lubna dan Ezzati Amira boleh dimiliki.
Ketua Kategori Pakaian Muslim Zalora Malaysia, Shasha Ahmad ketika ditemui dalam satu wawancara eksklusif baru-baru ini berkata, fesyen pakaian yang dihasilkan pereka-pereka hebat itu amat memenuhi kehendak dan keinginan pelanggan sempena lebaran kali ini.
"Semua pereka fesyen sudah peka dengan apa yang pelanggan mahukan termasuk dari segi harga, jenis material dan juga warna.
"Kami fikir kebaya labuh akan menjadi trending kali ini selepas melihat maklum balas pelanggan yang teruja dengan fesyen lama yang diolah semula itu," ujarnya kepada Inspirasi Femina.
Menurutnya lagi, pihak Zalora juga menawarkan antara 50 hingga 200 pasang pakaian setiap jenama pada harga bermula dari RM99 yang meliputi pelbagai saiz sehingga 5XL.
"Kita jangkakan koleksi ini dapat dijual sehingga 80 peratus sebelum tibanya Aidilfitri," katanya.
Dalam pada itu, Zalora turut memperkenalkan koleksi pakaian aktif sopan bagi memenuhi permintaan pelanggan yang memerlukan pakaian bersesuaian untuk aktiviti sukan dan riadah.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!