Kesedihan, kekecewaan buat Croatia - Modric
PEMAIN tengah Croatia, Luka Modric kecewa selepas pasukannya tewas 0-3 kepada Argentina dalam perlawanan separuh akhir Piala Dunia di Stadium Lusail pada Rabu.
Menurutnya, Croatia bermain dengan baik, namun beberapa keputusan pengadil memberikan kesan kepada perlawanan tersebut.
"Kami tidak mahu tewas, tetapi kami perlu bangkit untuk perlawanan penentuan tempat ketiga. Kami sedih, kami mahu berada di final tetapi tidak berjaya.
Kami perlu mengucapkan tahniah kepada Argentina. Namun, dua keputusan pengadil tidak memberikan sepakan sudut dan menghadiahkan penalti kepada Argentina mengubah segalanya.
"Pemain Argentina (Julian Alvarez) itu telah menendang bola tersebut dan kemudian baru bertembung dengan penjaga gol kami. Saya tidak percaya pengadil memberikan penalti.
"Ia mengubah rentak permainan tetapi kami tidak dapat mengubah keputusan. Sekarang kami perlu bangkit dan menang perlawanan seterusnya," katanya.
Pemain berusia 37 tahun itu juga menegaskan bermain untuk tempat ketiga juga amat penting untuk pasukan.
"Kami telah mengharungi Piala Dunia yang hebat dan kini ada tempat ketiga dipertaruhkan. Kami perlu mempersiapkan diri. Jika kami menang ia juga satu kejayaan," katanya.
Dalam pada itu, Modric tetap mengharapkan Argentina dan Lionel Messi dapat menjuarai edisi kali ini walaupun mereka tewas di tangan pasukan Amerika Selatan itu.
"Messi akan menang Piala Dunia kali ini. Dia adalah pemain yang bagus dalam sejarah dan layak untuk mendapatkannya," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!