Wan Rosdy umum portfolio 10 Exco Pahang

Wan Rosdy (depan, tengah) dan Setiausaha Kerajaan Negeri Pahang, Datuk Seri Dr Sallehuddin Ishak (depan, empat dari kiri) bersama barisan Exco selepas majlis pengumuman portfolio di Wisma Sri Pahang, di sini pada Rabu.
Wan Rosdy (depan, tengah) dan Setiausaha Kerajaan Negeri Pahang, Datuk Seri Dr Sallehuddin Ishak (depan, empat dari kiri) bersama barisan Exco selepas majlis pengumuman portfolio di Wisma Sri Pahang, di sini pada Rabu.
A
A
A

KUANTAN - Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail mengumumkan senarai portfolio 10 Ahli Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco), termasuk dua dari Pakatan Harapan (PH) di Wisma Sri Pahang, di sini pada Rabu.

Wan Rosdy yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jelai memegang portfolio Perancangan, Kewangan, Tanah, Sumber Asli, Tenaga dan Air, Pembangunan Ekonomi, Perladangan dan Komoditi.

ADUN Benta, Datuk Seri Ir Mohd Soffi Abdul Razak dikekalkan untuk portfolio Pertanian, Industri Asas Tani, Bioteknologi dan Pendidikan.

Sementara itu, portfolio Hal Ehwal Agama Islam, Pembangunan Luar Bandar dan Hal Ehwal Orang Asli berada di bawah tanggungjawab Datuk Seri Syed Ibrahim Syed Ahmad yang juga ADUN Kerdau.

Bekas Exco Sains, Teknologi, Inovasi, Komunikasi dan Multimedia, Datuk Mohammad Fakhruddin Mohd Ariff (ADUN Bebar) dilantik menerajui portfolio Kerja Raya, Pengangkutan dan Kesihatan.

Exco muka baharu, Ir Razali Kasim (ADUN Muadzam Shah) diumumkan untuk portfolio Hal Ehwal Felda, Koperasi dan Usahawan manakala ADUN Pelangai, Datuk Seri Johari Harun memegang portfolio Kerajaan Tempatan, Perumahan, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau.

Wan Rosdy turut mengumumkan, Datuk Mohamad Nizar Mohamad Najib (ADUN Peramu Jaya) memegang portfolio Pelaburan, Perindustrian, Sains dan Inovasi manakala ADUN Guai, Datuk Sabariah Saidan memegang portfolio Pembangunan Masyarakat, Pembangunan Wanita dan Keluarga.

Bekas Setiausaha Akhbar Menteri Besar,Fadzli Mohamad Kamal (ADUN Dong) yang dilantik sebagai Exco memegang portfolio Komunikasi dan Multimedia, Sukan dan Badan-Badan Bukan Kerajaan.

Artikel Berkaitan:

Manakala, ADUN Teruntum dari PH (PKR) Sim Chon Siang menerajui portfolio Hal Ehwal Pengguna dan Sumber Manusia manakala ADUN Triang dari DAP, Leong Yu Man memegang portfolio Perpaduan, Pelancongan dan Kebudayaan.

Ketika mengumumkan senarai portfolio itu, Wan Rosdy berkata, semua barisan Exco yang dilantik dan diberi tanggungjawab dengan portfolio masing-masing perlu mengetepikan sentimen politik serta perbezaan ideologi masing-masing.

Semua Exco perlu bekerjasama sebagai satu pasukan yang mantap bagi memastikan segala agenda pembangunan negeri dan kebajikan rakyat dapat terus dilaksanakan dengan cemerlang.

"Laksana setiap tugas yang diberikan dengan penuh rasa tanggungjawab dan amanah agar hasrat untuk menjadikan Pahang sebagai sebuah negeri maju akan tercapai," katanya.

Wan Rosdy berkata, rakyat Pahang diharap dapat memberi kepercayaan dan sokongan kepada kerajaan Negeri yang baharu dibentuk demi kestabilan dan kemakmuran negeri.

"Sudah sampai masanya untuk kita membuka lembaran baharu ke arah politik matang serta meraikan perbezaan antara kita semua dalam suasana kepelbagaian kaum dan agama agar kita dapat terus hidup dalam suasana yang aman, damai dan harmoni," ujarnya.

Barisan 10 Exco Kerajaan Pahang telah mengangkat sumpah jawatan di hadapan Pemangku Raja Pahang, Tengku Mahkota Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al Mustafa Billah Shah di Istana Abu Bakar, Pekan, 2 Disember lalu.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!