Penduduk buntu banjir termenung dalam rumah
SABAK BERNAM - Kira-kira 12 rumah penduduk di Jalan Said dan Jalan Masjid Baru 38 di sini buntu kerana terpaksa tinggal dalam keadaan rumah digenangi banjir termenung sejak tiga hari lalu.
Siti Saliza Mohd Salleh, 40, berkata, banjir melanda rumahnya sejak Isnin masih belum surut, malah paras air pula semakin naik.
"Keadaan bertambah teruk berikutan cuaca tidak menentu terutama kerap kali hujan.
"Air mula melimpah masuk ke dapur dan ruang tamu rumah pada jam 8.30 malam Isnin dan keadaan bertambah teruk apabila keseluruhan rumah digenangi air setinggi 0.6 meter," katanya ketika ditemui Sinar Harian pada Khamis.
Dia yang menetap di Jalan Haji Said Kampung Batu 38 berkata, kejadian banjir bukan hanya merunsingkan penduduk, malah berdepan kerugian ribuan ringgit akibat tidak sempat menyelamatkan barangan berharga.
Banyak harta-benda musnah akibat banjir dan saya sendiri alami kerosakan seperti komputer riba, pembesar suara radio dan televisyen," katanya.
Kasmawati Muslimin, 53, memberitahu, banjir melanda rumahnya teruk dan tahun ini sahaja tiga kali sudah dinaiki air.
Katanya, jika sebelum ini ibunya menumpang di rumahnya, namun akibat banjir mereka sekeluarga pula terpaksa 'berteduh' di rumah ibu yang jaraknya 300 meter dari kediamannya.
"Keseluruhan ruang dalam rumah saya tenggelam dan kami berpindah sementara ke rumah ibu yang terletak di seberang jalan.
"Rumah ibu juga banjir, tetapi air hanya masuk di bahagian dapur, tidaklah seteruk rumah saya yang melimpah teruk," kata Kasmawati.
Bagi Atisah Saiman, 61, yang menetap di Jalan Masjid Batu 38 pula memaklumkan, kejadian banjir termenung kerap berlaku dalam tempoh dua tahun kebelakangan ini.
"Kami tiada pilihan sebaliknya terpaksa tinggal di rumah dalam keadaan tidak selesa kerana perlu jaga rumah, bimbang juga keselamatan jika tinggalkan rumah ini lebih-lebih lagi jika air naik.
"Keadaan banjir ini disebabkan sistem saliran tidak diselenggara dengan baik dan tepu menjadi punca utama air tidak dapat disalurkan ke parit utama," tambahnya.
Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Air Tawar, Datuk Rizam Ismail berkata, kejadian banjir itu masalah tahunan yang sering dihadapi penduduk di kampung berkenaan.
Jelasnya, kerajaan negeri dan Persekutuan diminta menyalurkan peruntukan segera bagi menangani kejadian sama daripada terus berulang.
"Hasil tinjauan dan lawatan saya di kampung ini masalah banjir pada tahun ini lebih buruk berbanding tahun lalu, apatah lagi mereka terpaksa tinggal dalam keadaan rumah dilimpahi air," kata beliau.
Beliau memberitahu, kejadian banjir bukan sahaja menyebabkan kerosakan harta-benda, malah penduduk yang bergantung kepada hasil tanaman kebun juga hilang punca pendapatan.
"Saya difahamkan pendapatan mereka terjejas dua hingga tiga bulan mendatang dan inilah yang merisaukan penduduk setempat apabila punca rezeki mereka juga terjejas," kata Rizam.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!