Zon Bebas Cukai Rantau Panjang beroperasi seperti biasa
RANTAU PANJANG - Zon Bebas Cukai Rantau Panjang di sini beroperasi seperti biasa walaupun beberapa kawasan berhampiran dilanda banjir sejak Sabtu lalu.
Wakil peniaga, Ramli Abdullah, 51, berkata, ramai yang beranggapan kawasan tersebut dinaiki air apabila ada beberapa buah kampung di sini terlibat dengan banjir.
"Hakikatnya di sini kering-kontang, selagi paras air Sungai Golok tidak mencecah 10 meter dan ke atas, kawasan zon bebas cukai tetap beroperasi seperti biasa.
"Sekarang ini musim cuti sekolah, kebiasaannya pengunjung ramai. Tetapi disebabkan mereka beranggapan di sini banjir, kawasan ini sunyi sepi dan yang ada hanya pengunjung tempatan," katanya kepada Sinar Harian pada Rabu.
Peniaga makanan ringan, Subaini Manaf, 33, berkata, jualannya merosot disebabkan faktor cuaca.
Ujarnya, walaupun hujan dia dan peniaga lain tetap berniaga seperti biasa selagi air Sungai Golok tidak melimpah masuk ke kawasan bandar.
Menurutnya, banyak bekalan makanan ringan baharu dibawa masuk untuk jualan cuti sekolah namun hampa apabila tiada pengunjung.
Sementara itu, pengunjung dari Johor, Nor Naemah Sidek, 43, berkata, pada awalnya dia tidak yakin untuk datang ke situ apabila mendapat tahu tentang keadaan banjir yang berlaku di Rantau Panjang.
"Rakan yang merupakan penduduk tempatan ketika dihubungi memberitahu urus niaga di Rantau Panjang berjalan seperti biasa menyebabkan saya mengambil keputusan untuk berkunjung ke sini," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!