Konsultan hartanah didakwa tipu pinjaman rumah

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

KLANG - [DIKEMAS KINI] Seorang konsultan hartanah mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini pada Rabu, atas tuduhan memperdaya seorang wanita berhubung pembayaran deposit bagi pinjaman tidak wujud untuk pembelian rumah pada 2018.

Siti Nur Atiqah Baba, 33, yang hadir bertongkat ke prosiding itu didakwa menipu wanita berusia 29 tahun berhubung pembayaran deposit 10 peratus berjumlah RM25,900 dengan curangnya menyatakan pinjaman rumah dari sebuah bank yang tidak wujud telah diluluskan, di sebuah pasar raya di Klang antara 2 hingga 7 Mac 2018.

Pertuduhan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara tidak lebih 10 tahun dan sebat dan boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Hanis Zulkapli menawarkan jaminan sebanyak RM10,000 bagi pertuduhan berkenaan.

Peguam tertuduh R. Nadarajan memohon jaminan dikurangkan ke RM2,000 memandangkan anak guamnya memberi kerjasama kepada pihak polis sepanjang siasatan dilaksanakan serta sedang cuti sakit selama dua bulan dan masih mendapatkan rawatan.

Majistret Noorjidah Mohd Jusan kemudiannya menetapkan jumlah jaminan RM4,500 dengan seorang penjamin manakala sebutan semula kes pada 13 Februari tahun depan. - Bernama

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!