Tak sabar rasa nak ke Parlimen pada 19 Disember - Shahidan
SHAH ALAM - Ahli Parlimen Arau, Datuk Seri Shahidan Kassim meluahkan rasa tidak sabar untuk kembali ke Parlimen pada 19 Disember ini.
Shahidan berkongsi beberapa gambar menerusi Facebooknya pada Rabu ketika menghadiri taklimat berkenaan Peraturan dan Etiket Dewan Rakyat kepada Ahli-Ahli Parlimen Kedah dan Perlis.
"Saya menghadiri taklimat berkenaan Peraturan dan Etiket Dewan Rakyat kepada Ahli-Ahli Parlimen Kedah dan Perlis yang dipengerusikan oleh Tan Sri Azhar Azizan Harun.
"Tidak sabar rasanya untuk melangkah semula ke Parlimen pada 19 Disember ini," katanya.
Shahidan, 71, adalah tokoh politik yang tidak asing lagi di Perlis kerana beliau menyandang jawatan sebagai Ahli Parlimen Arau selama empat penggal iaitu pada 1986, 1990, 2013 dan 2018 menerusi tiket BN.
Shahidan bertanding atas tiket Perikatan Nasional (PN) selepas digugurkan UMNO sebagai calon Parlimen Arau.
Bagaimanapun Shahidan membuat kejutan apabila berjaya mempertahankan kerusi Parlimen Arau dengan majoriti 23,216 undi menewaskan pencabarnya, Datuk Rozabil Abdul Rahman dari BN dan calon muda Pakatan Harapan (PH), Fathin Amelina Fazlie.
Shahidan merupakan bekas pemimpin UMNO yang dilihat tidak sehaluan dengan Presiden parti, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Bekas Ketua UMNO Bahagian Arau itu menggesa Ahmad Zahid berundur dan meletak jawatan susulan kekalahan teruk Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
Sebelum ini Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menetapkan sidang Dewan Rakyat bermula pada 19 Disember ini.
Menurutnya, selain usul kerajaan, pihaknya akan mengemukakan usul percaya di Parlimen bagi menepis segala dakwaan terhadap keabsahan pimpinannya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!