Banjir Kelantan belum serius - Mohd Amar
KOTA BHARU - Banjir di Kelantan melibatkan daerah Rantau Panjang dan Pasir Mas ketika ini disifatkan sebagai belum berada pada tahap serius.
Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah berkata, banjir tersebut adalah bah biasa akibat hujan.
“Banjir ketika ini baru peringkat awal akibat hujan. Apabila hujan berhenti, banjir akan surut.
“Banjir yang betul-betul serius apabila air datang dari hulu yang dipanggil hujan hulu,” katanya ketika ditemui selepas Mesyuarat Exco di Kota Darul Naim di sini pada Rabu.
Beliau berkata, bagaimanapun penugasan banjir dilaksanakan seperti biasa membabitkan usaha menyelamat dan memindahkan mangsa ke pusat pemindahan sementara (PPS) oleh anggota keselamatan.
“Langkah mengenal pasti lokasi-lokasi pangkalan hadapan itu sudah dilakukan lebih awal pada Oktober lalu.
“Barangan makanan kepada mangsa banjir sudah tersedia melalui Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) selain persiapan menyelamat seperti bot juga bergerak apabila banjir,” katanya.
Menurut Mohd Amar, bantuan kewangan kepada mangsa pula akan diputuskan oleh Kerajaan Persekutuan kerana banjir ini di bawah Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA).
Pada Rabu, Kelantan merekodkan serami 2014 mangsa banjir daripada 634 keluarga yang dipindahkan ke tujuh PPS di dua daerah tersebut.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!