PRN: PH Negeri Sembilan yakin kekalkan 20 kerusi DUN

 Aminuddin Harun
Aminuddin Harun
A
A
A

SEREMBAN - Pakatan Harapan (PH) Negeri Sembilan yakin dapat mempertahankan 20 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang dimenangi gabungan itu pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) di negeri ini pada Pilihan Raya Negeri (PRN) tahun depan.

Pengerusinya, Datuk Seri Aminuddin Harun bagaimanapun berkata, beliau tidak menafikan ada kelemahan dan kekurangan dikesan dalam kerusi DUN itu selepas PRU15 lepas.

"Insya-ALLAH kita mampu pertahankan kerusi itu dan kita sudah nampak mana kelemahan, mana kekurangan. Kita ada masa lebih kurang enam bulan lagi sebelum PRN, kita boleh perbetulkan dan baikinya (kelemahan dan kekurangan).

"Saya juga yakin kerajaan Persekutuan di bawah pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim kali ini dapat memberikan perkhidmatan terbaik dan menambah keyakinan rakyat untuk terus memberi sokongan kepada PH selain calon itu sendiri," katanya ketika sidang akhbar selepas mempengerusikan Mesyuarat Exco Mingguan di Wisma Negeri pada Rabu.

Dalam pada itu, Menteri Besar Negeri Sembilan itu berkata, sekiranya kerjasama dengan Barisan Nasional (BN) dimuktamadkan, beliau berpendapat ia lebih memberi keyakinan.

"Tetapi saya tidak boleh jawab sekarang (kerjasama PH dan BN) sebab masih jauh lagi dan belum ada perbincangan awal,” katanya.

DUN Negeri Sembilan ketika ini diwakili 20 ahli PH dan 16 BN daripada keseluruhan 36 kerusi pada PRU14.

Sementara itu, mengulas mengenai laporan media baru-baru ini berhubung sasaran Perikatan Nasional (PN) Negeri Sembilan untuk menang sekurang-kurangnya 19 kerusi DUN pada PRN nanti, Aminuddin berpendapat, ia adalah untuk memberi keyakinan kepada penyokong dan jentera parti.

Artikel Berkaitan:

"Kalau saya jadi pembangkang pun saya akan cakap saya boleh menang 19 DUN untuk memberi keyakinan kepada penyokong dan jentera.

"Jadi itu memang biasalah sebagai pemimpin dia akan lebih 'confident' daripada realitinya, tetapi tidak dinafikan bahawa kalau ikut PRU15 sokongan kepada PN itu agak baik.

"Kita tunggulah seperti yang saya cakap tadi ada enam bulan lagi, apa-apa pun boleh berlaku dan kita akan sentiasa bersiap sedia," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!