Kerajaan cadang bawa masuk kereta elektrik bawah RM100,000
BANGI - Kerajaan bercadang untuk membawa masuk kenderaan elektrik (EV) mampu milik berharga di bawah RM100,000 bagi memberi peluang kepada golongan pertengahan menggunakan kenderaan tersebut.
Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, cadangan itu juga secara tidak langsung membolehkan golongan berkenaan turut sama menyumbang kepada hasrat menjadikan negara rendah karbon di masa akan datang.
Beliau mengakui, kebanyakan harga EV di pasaran ketika ini melebihi had harga berkenaan selain di luar kemampuan kebanyakan rakyat di Malaysia.
“Kita mahu lihat kepada pasaran yang lebih besar iaitu (harga) di bawah RM100,000. Oleh itu akan lihat bagaimana kerajaan dapat main peranan, antaranya menjalin kerjasama dengan syarikat automotif berkaitan.
“Kalau boleh nak bawa masuk EV lebih mampu milik (dengan cara) dipasang di negara ini yang mungkin dapat bantu untuk menawarkan harga lebih rendah,” katanya ketika ditemui selepas melancarkan Stesen Pengecas EV Bangi Resort pada Rabu.
Dalam pada itu, Nik Nazmi berkata, kerajaan sebelum ini telah menyediakan pelbagai inisiatif dalam usaha merealisasikan hasrat menjadikan negara bebas karbon.
“Sebelum ini, sudah ada insentif untuk pemilikan EV dan sebagainya, namun pada masa akan datang kita akan lihat kembali (dalam) Bajet 2023 yang akan dibentangkan semula nanti atau Bajet 2024, sama ada kerajaan dapat tambah inisiatif untuk kenderaan jenis itu,” katanya.
Sebagai rekod, kerajaan sebelum ini pernah menawarkan pengecualian cukai langsung dan tidak langsung bagi aktiviti pemasangan atau pengilangan EV, pembuatan komponen serta pembangunan ekosistem seperti fasiliti pengecasan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!