4 negeri disenarai titik panas banjir - Kor Ming

Kor Ming bercakap ketika sidang akhbar mengenai kesiapsiagaan Jabatan Bomba dan Penyelamat bagi menghadapi Monsun Timur Laut di Ibu Pejabat JBPM pada Rabu. - Foto Bernama
Kor Ming bercakap ketika sidang akhbar mengenai kesiapsiagaan Jabatan Bomba dan Penyelamat bagi menghadapi Monsun Timur Laut di Ibu Pejabat JBPM pada Rabu. - Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - Empat negeri iaitu Kelantan, Pahang, Johor dan Selangor disenarai sebagai lokasi titik panas banjir di Semenanjung yang mungkin berlaku bila-bila masa sepanjang Monsun Timur Laut (MTL), kata Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming.

Beliau berkata, secara keseluruhan, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) menyenaraikan 5,235 kawasan berisiko tinggi iaitu 4,795 kawasan banjir, 254 kawasan cerun kritikal dan 186 kawasan kepala air termasuk di Labuan, Sabah dan Sarawak.

Bercakap pada sidang akhbar berhubung kesiapsiagaan JBPM menghadapi MTL di sini pada Rabu, Kor Ming berkata, agensi itu menetapkan persediaan lebih proaktif berdasarkan pengalaman peristiwa banjir yang melanda negara pada Disember 2021.

"Langkah ini termasuk dengan mengerahkan kekuatan dan keanggotaan pegawai bomba terdiri daripada 12,857 pegawai sepenuh masa dan 2,111 pegawai bomba bantuan yang bersiap siaga berdepan dengan sebarang kebarangkalian banjir,” katanya.

Mengenai kekuatan logistik darat dan air, beliau berkata, ia meliputi kenderaan angkut ringan sebanyak 584 unit, kenderaan angkut berat (140 unit) dan kenderaan marin (487 unit) termasuk 62 bot.

Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) meramalkan tiga kawasan utama bakal mengalami taburan hujan tinggi bermula 17 Disember iaitu timur Semenanjung meliputi Kelantan dan Terengganu, pantai timur Sabah dan pantai barat Sarawak.

Kor Ming berkata, JBPM juga bekerjasama dengan Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim serta MetMalaysia bagi mendapatkan maklumat perubahan iklim terkini di seluruh negara.

Sementara itu, beliau mengingatkan penduduk di kawasan mudah banjir untuk bersiap sedia bagi mengelak kejadian tidak diingini termasuk menyimpan dokumen penting dan barangan berharga.

"Buat persediaan awal dan sediakan plan B untuk elak insiden tidak diingini. Biar bersedia dan jangan tunggu sehingga saat akhir,” katanya. - Bernama

Artikel Berkaitan:

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!