SAM, CAP ulang kebimbangan projek kereta kabel Bukit Bendera

Ilustrasi kereta kabel Bukit Bendera yang bakal beroperasi dalam jangkaan tiga tahun akan datang. (Gambar kecil: Meenakshi)
Ilustrasi kereta kabel Bukit Bendera yang bakal beroperasi dalam jangkaan tiga tahun akan datang. (Gambar kecil: Meenakshi)
A
A
A

GEORGETOWN - Sahabat Alam Malaysia (SAM) dan beberapa badan bukan kerajaan (NGO) termasuk Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) sekali lagi menyatakan kebimbangan mereka terhadap projek kereta kabel Bukit Bendera yang bakal dilaksanakan tidak lama lagi.

Presiden SAM, Meenakshi Raman berkata, dengan pelaksanaan projek tersebut, ia akan meningkatkan bilangan pengunjung dalam satu-satu masa, yang mana jika mengikut Rancangan Kawasan Khas (SAP), kapasiti pengunjung untuk kawasan bukit adalah terhad.

Menurutnya, projek itu juga akan merosakkan alam sekitar selain mengubah suasana kawasan peranginan itu kepada suasana yang sangat dikomersialkan.

"Kita amat kecewa selepas mengetahui Ketua Menteri telah mengumumkan bahawa Projek Kereta Kabel Bukit Bendera akan dimulakan tidak lama lagi apabila projek itu dianugerahkan kepada Hartasuma Sdn Bhd dengan anggaran pelaburan RM245 juta.

"SAM, CAP bersama beberapa NGO berkaitan alam telah menentang projek ini sejak beberapa tahun lalu kerana ia akan menyebabkan alam sekitar rosak. Kajian pra kebolehlaksanaan menunjukkan dengan adanya kereta kabel, ia akan mendorong 6,463 pengunjung di pusat peranginan itu dalam satu masa.

"Sedangkan, dalam SAP untuk kawasan bukit menyatakan, Bukit Bendera hanya mampu menampung 4,800 pengunjung dalam satu masa. Kebimbangan yang kami nyatakan ini langsung tidak diambil peduli oleh kerajaan negeri," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Beliau berkata, SAM tetap dengan pendiriannya iaitu tidak menyokong cadangan Projek Kereta Kabel Bukit Bendera memandangkan projek itu akan menjejaskan ekosistem sensitif di kawasan bukit dan Taman Botani.

"Perkara utama adalah berkaitan alam sekitar yang mana, kami mahu memastikan kelestarian alam sekitar dan biodiversiti, pengurusan dan pemuliharaan Bukit Bendera memandangkan pengiktirafannya sebagai Rizab Biosfera UNESCO.

Artikel Berkaitan:

"Kereta kabel dilihat tidak mesra alam terutamanya bagi bukit dan taman sekitar. Sekiranya projek itu dilaksanakan, ia akan menyebabkan kerosakan pada Taman Botani dan Bukit Bendera sendiri yang mana, kawasan ini disifatkan sebagai kawasan sensitif," katanya.

Sehubungan itu, Meenakshi berkata, pihaknya menggesa kerajaan negeri melaksanakan penilaian kesan alam sekitar dan sosial yang terperinci sebelum projek tersebut bermula.

"Penilaian kesan alam sekitar dan sosial yang terperinci amat diperlukan seperti yang dikehendaki oleh undang-undang dan ia mesti melibatkan perundingan awam selain dilaksanakan dengan telus. Penilaian ini amat penting kerana kita bimbang projek ini akan memberi kesan yang besar kepada alam sekitar.

"Selain itu, kerajaan negeri juga menjelaskan butiran pembiayaan setelah pemberian konsesi 30 tahun kepada syarikat yang dianugerahkan untuk melaksanakan projek berkenaan. Kita juga mahu tahu caj tiket yang akan dikenakan kepada pelanggan kelak, kerajaan negeri perlu telus dengan kebimbangan yang dinyatakan ini," katanya.

Sebelum ini, SAM menggesa kerajaan Pulau Pinang agar tidak meneruskan cadangan projek kereta kabel Bukit Bendera bagi memelihara ekosistem di kawasan tersebut serta sekitarnya.

Kata SAM lagi, kejadian kerosakan kereta api funikular yang berlaku beberapa kali sebelum ini tidak boleh dijadikan alasan untuk kerajaan negeri meneruskan projek tersebut tanpa menyiasat punca kerosakan terlebih dahulu.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!