Hujan berterusan, peningkatan air sungai punca banjir besar

Pakar Meteorologi Pusat Penyelidikan Antartika Kebangsaan, Profesor Datuk Dr Azizan Abu Samah
Pakar Meteorologi Pusat Penyelidikan Antartika Kebangsaan, Profesor Datuk Dr Azizan Abu Samah
A
A
A

SHAH ALAM - Hujan berterusan sejak beberapa hari lalu yang menyebabkan berlaku peningkatan paras air sungai, menyumbang kepada faktor berkemungkinan banjir besar boleh berlaku dalam tempoh terdekat.

Pakar Meteorologi di Pusat Penyelidikan Antartika Kebangsaan, Profesor Datuk Dr Azizan Abu Samah berkata, hujan berterusan menyebabkan peningkatan paras air sungai pada tahap waspada dan bahaya.

"Saya berpandangan kemungkinan banjir besar boleh berlaku pertama sekali adalah sungai-sungai di Pahang, Terengganu dan Kelantan kebanyakannya berada di paras sama ada bahaya atau waspada.

"Kita telah mendapati hujan turun dalam tempoh yang lama. Jadi ini menunjukkan bahawa paras air sungai telah meningkat pada kedua tahap tersebut.

"Keduanya ialah disebabkan hujan telah berlaku sejak dua tiga hari ini dengan kuantiti yang banyak di merata tempat kemungkinan besar kelembapan tanah yang menyerap kelembapan berada tahap tepu," katanya.

Azizan berkata demikian ketika menjadi panelis Program Sinar Live bertajuk 'Awas, Banjir Besar Anytime!' yang dikendalikan oleh Fahiz Ariff disiarkan secara langsung di platform digital Sinar Harian pada Rabu.

Beliau menambah, jumlah taburan hujan yang tinggi menyebabkan hutan dan sungai tidak boleh lagi menampung lurahan hujan yang turun.

Program Sinar Live bertajuk ‘Awas, banjir besar anytime!’ yang berlangsung di Kompleks Kumpulan Karangkraf pada Rabu. -Foto Sinar Harian/MOHD HALIM ABDUL WAHID
Program Sinar Live bertajuk ‘Awas, banjir besar anytime!’ yang berlangsung di Kompleks Kumpulan Karangkraf pada Rabu. -Foto Sinar Harian/MOHD HALIM ABDUL WAHID

Artikel Berkaitan:

"Jadi hujan yang turun ini dijangka agak lebat iaitu ramalan dari model global seperti di Nullschool.net meramal hujan yang turun dalam kadar 40 milimiter (mm).

"Oleh kerana itu saya beri langkah berjaga-jaga bahawa khususnya di Pantai Timur iaitu Kelantan, Pahang Terengganu kemungkinan banjir yang lebih besar lagi akan berlaku," katanya.

Jelas beliau, luruan monsun yang menghasilkan angin kencang di Laut China Selatan selain fenomena La Nina dan negatif IOD menyebabkan peningkatan hujan juga membawa kepada berlakunya kejadian banjir.

Pada masa sama katanya, faktor pembangunan ada menyumbang kepada kejadian banjir kilat kerana apabila ada ada pembangunan mengurangkan penyerapan air masuk ke dalam tanah.

"Jadi banyak air ini hanya akan menjadi air larian. Jadi ia cepat naik dan pergi ke tempat yang rendah. Apabila tempat rendah ia mula bertangkung dan mula banjir.

"Oleh itu, isu banjir kilat ini ialah perparitan dan bagaimana kita mengalirkan lebihan air yang cepat ini ke kawasan lain supaya kawasan rendah itu tidak banjir," katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, Azizan menyifatkan, tahap kesiapsiagaan semua agensi termasuk Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) berada dalam keadaan baik apabila kerap mengeluarkan amaran kepada masyarakat.

"Kita lihat amaran itu lebih terperinci dan melibatkan kawasan tertentu. Itu adalah penambahbaikan apa yang berlaku semasa tahun 2014 dan dan 2021 di mana kita belajar dari kelemahan sebelum ini.

"Bagaimanapun saya nak lihat dari segi rancangan jangka masa panjang kerana isu banjir ini adalah isu berulang dan bagaimana kita rancang untuk hadapi banjir terutama di kawasan seperti Kuala Lumpur dan Lembah Klang yang melibatkan kerugian agak besar dan mencecah bilion," ujarnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!