[VIDEO] Penduduk bimbang setiap kali hujan lebat

Rumah penduduk di Kampung Kemat, Hulu Terengganu kembali dinaiki air sejak petang Rabu.
Rumah penduduk di Kampung Kemat, Hulu Terengganu kembali dinaiki air sejak petang Rabu.
A
A
A

HULU TERENGGANU - Penduduk Kampung Kemat, di sini bimbang setiap kali berdepan keadaan hujan lebat ekoran kejadian banjir buruk luar jangka yang pernah melanda kawasan itu pada 27 Februari lalu.

Tinjauan mendapati kampung itu kembali dinaiki air sejak jam 2 petang pada Khamis selepas banjir beransur pulih dan kesemua pusat pemindahan sementara (PPS) di Terengganu di tutup jam 12 tengah hari.

Asma Abd Rahman, 41, berkata, mereka bagaimanapun bersyukur banjir kali ini tidak berlaku secara mengejut dan penduduk sempat membuat persediaan lebih awal sebelum rumah dinaiki air.

"Banjir gelombang kedua ini keadaan seperti banjir gelombang pertama dimana paras air sungai tidak naik secara mendadak.

"Di rumah saya ketika ini keadaan air masih rendah dan berada pada paras tangga rumah namun saya telah mula berpindah dan membawa ibu saya yang telah uzur ke rumah saudara saya di tempat lebih selamat," katanya ketika ditemui Sinar Harian, di sini, pada Rabu.

Menurut Asma, banjir gelombang pertama melanda sebelum ini tidak menjejaskan banyak rumah di kampung berkenaan dan air hanya melepasi paras tangga kediaman.

Namun, katanya, kebanyakan penduduk kampung berkenaan trauma setiap kali hujan lebat dan air sungai naik kerana banjir besar yang melanda pada Februari lalu meninggalkan kesan kepada mereka.

"Banjir pada awal tahun adalah yang terburuk kerana air naik mendadak sejak jam 3.30 pagi. Jam 6 pagi beberapa rumah di kawasan ini sudah tenggelam dan banyak barangan yang tidak sempat diselamatkan.

Artikel Berkaitan:

"Tahun ini, kami bersyukur kerana keadaan lebih teratur dan semua penduduk dapat bersedia lebih awal seperti memindahkan kenderaan ke tempat lebih tinggi dan menyelamatkan dokumen penting dan barangan berharga," katanya.

Sementara itu, seorang lagi penduduk, Kadir Daud, 77, berkata, keadaan hujan tidak begitu lebat menyebabkan paras air di kawasan itu tidak begitu tinggi.

"Setakat ini keadaan hujan lebat tidak berterusan. Ada masa hujan, ada masa keadaan mendung.

"Jika hujan lebat tidak berhenti dalam tempoh tiga hingga empat hari lagi mungkin kesemua rumah di kawasan ini ditenggelami air," katanya.

Seorang lagi penduduk, Ibrahim Mamat, 49, berkata, pihaknya berharap supaya Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) dapat mendalamkan kawasan sungai dan parit di kampung berkenaan.

"Sungai-sungai di kampung ini banyak yang telah cetek menyebabkan pasir naik ke atas.

"Dulu kebanyakan kawasan sungai ada tebing, sekarang sudah tiada tebing dan ia menunjukkan keadaan sungai sudah semakin cetek dan menyebabkan limpahan air setiap kali musim tengkujuh," ujarnya.

Sementara itu, menurut Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Terengganu, dua buah PPS kembali di buka di daerah Hulu Terengganu yang menempatkan 40 mangsa banjir setakat jam 6 petang tadi.

Antara PPS terlibat ialah Balai Raya Kampung Kemat (14 mangsa) dan Balai Raya Kampung Tapah (26).

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!