Hannah, Yakeb beri penghormatan terakhir kepada Sabapathy
MENTERI Belia dan Sukan, Hannah Yeoh hadir memberi penghormatan terakhir kepada legenda olahraga negara mendiang, S Sabapathy pada Rabu.
Pengerusi Yayasan Kebajikan Atlet Kebangsaan (Yakeb), Datuk Noorul Ariffin Abdul Majeed ketika berkongsi perkara itu berkata, Hannah mengetuai Skuad Yakeb Prihatin hadir ke rumah mendiang di Seremban 2, Negeri Sembilan.
“Menteri bergegas selepas mesyuarat KBS di Putrajaya ke Seremban untuk berjumpa keluarga mendiang.
“Sungguh saya terharu komitmen menteri, sungguhpun masih baharu tapi 'human touch' beliau harus dijadikan teladan,” kata Noorul Ariffin dalam satu hantaran dikongsikan Yakeb di media sosialnya.
Berita pemergian Sabapathy berusia 75 tahun awal pagi Rabu, yang pernah beraksi dalam kategori 4x400 meter (m) di Olimpik Munich 1972 itu dikongsikan anak sulung mendiang, P Mahaletchumy.
Sabapathy sebelum ini terlantar sakit di rumahnya di Seremban, selepas menghidap pelbagai penyakit termasuk masalah buah pinggang.
“Ayah meninggal dunia pada jam 4.45 pagi. Sebelum ini, dia sukar untuk bernafas selain keadaan buah pinggangnya turut bermasalah,” katanya.
Mendiang akan dibawa ke krematorium di Mantin, Negeri Sembilan pada Khamis meninggalkan isterinya G Maliga, 66, dan dua anak perempuan.
Untuk rekod, Sabapathy pernah memperoleh emas acara 4x100m dalam Sukan SEA di Singapura pada 1973.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!