Harimau Malaya mudah tundukkan Maldives

Darren (kiri) menjaringkan satu gol dalam aksi persahabatan Tier 1 di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur pada Rabu. - Foto Facebook FAM
Darren (kiri) menjaringkan satu gol dalam aksi persahabatan Tier 1 di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur pada Rabu. - Foto Facebook FAM
A
A
A

SKUAD Harimau Malaya bagaikan sudah bersedia untuk menghadapi saingan Piala AFF 2022 selepas menewaskan Maldives 3-0 dalam aksi persahabatan Tier 1 di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur pada Rabu.

Kemenangan itu melengkapkan aksi cemerlang skuad negara dalam siri perlawanan persahabatan apabila sebelum ini turut membelasah Kemboja 4-0 di Stadium Nasional, Bukit Jalil pada Jumaat lalu.

Skuad negara kendalian Kim Pan-gon bermula baik menguasai perlawanan selain garang mencipta serangan sebaik sahaja wisel permulaan ditiup pengadil.

Peluang awal tiba menerusi penyerang negara, Darren Lok yang melakukan percubaan hasil hantaran Brendan Gan pada minit ke-11, tetapi terkena kaki penjaga gol Maldives, Hussain Shareef.

Harimau Malaya membuka tirai jaringan menerusi Darren pada minit ke-24 apabila dia memanfaatkan kesilapan pertahanan Maldives, Hussain Sifaau Yoosuf.

Safawi Rasid juga berpeluang mencetak nama selaku penjaring menerusi sepakan percuma pada minit ke-37, namun percubaannya tersasar sebelah kanan pintu gol Maldives.

Bersambung babak kedua, Faisal Halim menggandakan jaringan hasil hantaran Darren pada minit ke-64 apabila tenang menyudahkan situasi satu lawan satu berhadapan Shareef.

Kapten Harimau Malaya itu sekali lagi berpeluang menambah jaringan pada minit ke-71, namun sepakan cantiknya dari luar kotak penalti berjaya diselamatkan Shareef.

Artikel Berkaitan:

Pemain naturalisasi negara, Lee Tuck melengkapkan kemenangan skuad negara menerusi gol ketiga pada minit ke-88 selepas cemerlang menyudahkan hantaran rakan sepasukan di pasukan Sri Pahang FC, Sergio Aguero.

Selepas dua aksi persahabatan tersebut, Pan-gon akan menyenaraikan senarai akhir 23 pemain yang akan menggalas cabaran di Piala AFF.

Harimau Malaya akan memulakan aksi pembukaan Kumpulan B kejohanan tersebut pada 21 Disember ini menentang Myanmar di Yangon.

Skuad negara kemudiannya dijadualkan bertemu Laos di Stadium Nasional Bukit Jalil pada 24 Disember sebelum menentang Vietnam di Hanoi (27 Disember) dan menutup saingan kumpulan berdepan Singapura di Stadium Nasional Bukit Jalil pada 3 Januari depan.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!