Kerap zikir,jaga solat rahsia nenek 109 tahun

Mardzi Abu Bakar memegang sijil penghargaan warga emas tertua di Kedah pada Sambutan Hari Kanak-Kanak Sedunia,Hari OKU dan Hari Warga Emas Peringkat Negeri Kedah Tahun 2022 pada Rabu.
Mardzi Abu Bakar memegang sijil penghargaan warga emas tertua di Kedah pada Sambutan Hari Kanak-Kanak Sedunia,Hari OKU dan Hari Warga Emas Peringkat Negeri Kedah Tahun 2022 pada Rabu.
A
A
A

ALOR SETAR - Seorang wanita warga emas berusia 109 tahun dari Kampung Haji Kudong, Kuala Muda, diiktiraf sebagai warga emas paling tua di Kedah.

Mardzi Abu Bakar yang mendirikan rumah tangga dengan allahyarham Marzuki Hashim memiliki lapan anak, 32 cucu dan 12 cicit menerima pengiktirafan itu pada Rabu.

Mardzi memberitahu, dia bersyukur kerana dikurniakan Allah SWT dengan usia yang panjang dan tidak memiliki sebarang penyakit kronik kecuali masalah tulang.

"Antara amalan sejak usia muda, saya kerap mengamalkan zikir, menjaga solat sunat dan solat fardu dengan menunaikan solat tanpa berlegah.

"Selain itu,saya juga menjaga kesihatan diri dengan mengamalkan permakanan sihat seperti makan ulam-ulaman dan mengurangkan makanan berminyak,sekaligus tidak makan sebarangan," katanya.

Mardzi berkata sedemikian ketika ditemui pemberita selepas Sambutan Hari Kanak-Kanak Sedunia,Hari OKU dan Hari Warga Emas Peringkat Negeri Kedah Tahun 2022 di sebuah hotel di Jalan Pintu Sepuluh, di sini, pada Rabu.

Sebelum itu, Mardzi menerima pengiktirafan terbabit yang disampaikan Raja Puan Muda Kedah, Che Puan Muda Zaheeda Mohamad Ariff dan disaksikan Raja Muda Kedah, Tengku Sarafudin Badlishah Ibni Al Aminul Karim Sultan Sallehuddin.

Ketika diminta berkongsikan kisah hidupnya, Mardzi tidak melepaskan peluang menceritakan pengalaman yang dilalui dirinya semasa hidup ketika zaman penjajahan Jepun.

Artikel Berkaitan:

"Disebabkan takut, saya akan melarikan diri dan menyembunyikan diri apabila askar Jepun masuk ke kampung ketika zaman itu.

"Malah, saya pernah menyelamatkan anak perempuan dengan sorokkan anak dalam timbunan sabut ketika pemerintahan Jepun," katanya.

Sementara itu, anak bongsunya, Mohammad Asri, 50, berkata, ibunya tidak pernah menerima pendidikan formal dan hanya belajar agama di kampung sahaja.

Bagaimanapun, kata Mohammad Asri, hasil didikan orang tuanya terutamanya ibunya telah melahirkan anak-anak yang berjaya dalam pelbagai bidang termasuklah ada yang menjadi pengetua sekolah,pesara polis, pesara tentera dan pesara guru.

Menurutnya, ibunya menyara keluarga dan membesarkan dia adik beradik bersama arwah suami hasil usaha mengerjakan sawah padi.

Kata Mohammad Asri, ibunya yang kini tinggal bersama dirinya di Kampung Haji Kudong terbabit sering memberi pesanan dan nasihat kepada mereka sekeluarga.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!