Durian luar musim dapat sambutan

Nazrul Hisyam memasukkan durian ke dalam bakul sebelum dijual di gerainya di Jalan Pasir Tumbuh-Seribong pada Rabu.
Nazrul Hisyam memasukkan durian ke dalam bakul sebelum dijual di gerainya di Jalan Pasir Tumbuh-Seribong pada Rabu.
A
A
A

KOTA BHARU - Penjual durian di Jalan Pasir Tumboh - Seribong di sini mendapat pulangan menguntungkan apabila menjual durian ketika luar musim raja buah itu.

Nazrul Hisyam Samsudin, 32, yang mula menjual durian luar musim pada Oktober lalu mengakui ramai yang membeli durian walaupun berdepan tengkujuh.

Nazrul Hisyam mengambil kira-kira satu tan bekalan durian dari Raub Pahang untuk dijual di gerainya itu.

"Ketika ini di Kelantan memang tiada musim durian tetapi masih banyak boleh didapati di Pahang," katanya ketika ditemui pada Rabu.

Menurut bapa kepada seorang anak berusia empat tahun itu, bekalan duriannya habis dalam tempoh tidak sampai tiga hari dengan jualan antara 300 hingga 500 kilogram (kg) sehari.

Antara durian yang dijual ialah D24, musang king dan durian kampung.

Nazrul Hisyam memberitahu, buah durian yang dimasukkan ke dalam bakul dijual pada harga antara RM30 hingga RM50 berdasarkan gred dan saiz yang ditetapkan.

"Saya menjual durian yang terbaik kepada pelanggan malah ada jenis durian yang boleh diganti jika buah rosak," katanya.

Artikel Berkaitan:

Selain itu katanya, pelanggan boleh memilih sendiri durian yang dijual dan paling berat mencecah sehingga 2kg.

Nazrul Hisyam yang sudah 10 tahun berpengalaman dalam jualan durian berkata, pendapatan hasil jualannya tidak menentu bergantung kepada keadaan semasa.

"Jika musim durian di seluruh negara kami boleh untung sehingga RM10,000 sebulan tetapi dalam tempoh ini, pendapatan hanya biasa sahaja kerana kos ulang-alik mengambil buah," katanya.

Menurutnya lagi, selain dibeli penggemar durian, raja buah itu turut mendapat permintaan daripada pembuat pencuci mulut seperti pulut durian, durian crepe, bubur durian dan kuih muih lain.

Nazrul Hisyam yang membuka gerai duriannya dari jam 10 pagi hingga 7 petang itu turut berkongsi tips memilih durian yang berisi elok iaitu melalui durinya yang kurang tajam.

Sementara itu, seorang pembeli dari Melaka, Ismail Mohamad, 59, membeli durian kerana menjadi kegemaran keluarganya.

"Saya kebetulan melalui jalan ini dan mendapati ada durian dijual. Kami sekeluarga gembira dapat menikmati durian di luar musim," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!