Fun fair pun mampu cipta 'momen ngeri'
MERAK Jalanan terpanggil untuk berkongsi kisah suasana fun fair (pesta ria) sewaktu zaman 1980-an hingga 1990-an.
Selalunya acara riang ria itu akan diadakan setiap kali musim cuti sekolah atau hujung tahun. Ketika itu, Merak Jalanan yang masih kecil dan belum bersekolah akan dibawa oleh mak ayah ke sana.
Waktu itu, tiketnya cuma RM1 dan kalau kanak-kanak bawah umur 12 tahun, diberi percuma sahaja. Itu pun sudah dikira agak mahal, untuk zaman itulah.
Makanan dan minuman yang dijual di sana memang pelbagai. Paling ditunggu-tunggu oleh Merak Jalanan adalah gula kapas warna-warni.
Selain itu, misi utama bagi seorang kanak-kanak berusia lima tahun di fun fair adalah menaiki roda Ferris mini dan kuda pusing. Kalau dapat naik dua benda itu, memang ‘kembang hidung!’Lain pula misi kakak dan abang Merak Jalanan, selain menonton konsert mini mereka lebih suka permainan ‘ekstrem’. Rumah hantu, roller coaster mini, buaian laju atau kereta laga pula jadi pilihan mereka.
Pada zaman tersebut, tidak pula Merak Jalanan dengar atau ternampak kejadian orang jatuh daripada buaian atau roller coaster. Mungkin tiada internet atau telefon berkamera.
Namun, kejadian tiga orang cedera sebab terjatuh daripada ‘Sotong Ride’ pada malam Isnin lalu, menjentik sifat ingin tahu Merak Jalanan terhadap sistem keselamatan di fun fair.
Cari punya cari, Merak Jalanan terjumpa satu berita melaporkan bahawa selain penganjur tiada lesen, tapak fun fair di Eco Grandeur itu pernah disita. Itu untuk lesen, belum lagi kita periksa tahap keselamatan peralatan permainan mereka.
Duhai pihak penganjur, janganlah ambil mudah dengan nyawa orang lain. Buatlah pemeriksaan berkala terhadap fasiliti aset anda sebelum fun fair dibuka kepada umum.
Jangan jadikan momen gembira pelanggan anda bertukar kepada peristiwa ngeri!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!