Nilai eksport agrikomoditi RM160.6 bilion
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, sektor yang
merangkumi komoditi perladangan seperti sawit, getah, perkayuan, koko, lada, kenaf dan tembakau turut menyumbangkan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) RM61.3 bilion bagi tempoh sama.
"Sektor ini turut menyediakan peluang pekerjaan kepada hampir 1 juta rakyat Malaysia khususnya di segmen huluan," katanya dalam ucapan sempena majlis konvokesyen Institut Peladangan dan Komoditi Malaysia (IMPAC) ke-lapan di sini pada Khamis.
Menurutnya, kerajaan menyedari bahawa pergantungan yang berterusan kepada pekerja asing boleh menjejaskan sektor perladangan khususnya kepada sektor sawit untuk jangka masa panjang.
"Sehingga 30 September 2022, sejumlah 150,608 pekerja asing kini bekerja di sektor perladangan," katanya.
Beliau berkata, kerajaan amat menggalakkan pemain industri termasuklah pekebun kecil agar dapat meningkatkan tahap penggunaan jentera di ladang.
"Pelaksanaan kursus sama ada jangka pendek atau panjang bagi meningkatkan kesedaran dan kemahiran penggunaan jentera wajar dilipatgandakan," ujar beliau.
Ini katanya, untuk memastikan tahap penggunaan jentera di ladang dapat dicapai secara optimum seterusnya meningkatkan produktiviti dan mengurangkan kebergantungan kepada buruh asing.
Fadillah yang juga Menteri Peladangan dan Komoditi (KPK) berkata, penguasaan teknologi yang berteraskan Revolusi Industri (4IR) serta kepakaran dalam sesuatu bidang menjadi indikator utama dalam industri pada masa kini terutama kepada golongan belia terlatih di dalam sektor perladangan dan komoditi.
Ini sekali gus bagi memastikan golongan ini mempunyai kemahiran yang seiring dengan perkembangan teknologi semasa.
"Pengadaptasian teknologi ini juga mampu melahirkan pekebun kecil pintar yang akan mengamalkan kaedah pertanian moden menerusi penggunaan teknologi termaju, berinovasi serta meningkatkan daya saing usahawan bumiputera dalam kalangan industri hiliran sektor ini," katanya.
Turut hadir, Timbalan Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Siti
Aminah Aching; Ketua Setiausaha Kementerian Perladangan dan Komoditi,
Datuk Zurinah Pawanteh; Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah IMPAC,
Datuk Zunaidah Idris dan Ketua Eksekutif Institut Perladangan dan Komoditi Malaysia (IMPAC), Nazatul Niza Nordin.
Majlis yang dianjurkan bersama oleh IMPAC dan enam agensi KPK itu meraikan 584 graduan meliputi 360 graduan daripada program Sijil Kemahiran Malaysia (SKM).
Selebihnya adalah dari program latihan kemahiran kelolaan IMPAC dan agensi pelaksana.
Sementara itu, Fadillah berkata, pengukuhan ekosistem Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) negara dalam sektor perladangan dan komoditi dilihat mampu menangani isu kebergantungan kepada pekerja asing.
Ia berikutan TVET berfungsi sebagai pemangkin utama dalam pembangunan sosioekonomi Malaysia.
"Inisiatif ini dapat menghasilkan pasaran buruh yang fleksibel seterusnya menyumbang kepada peningkatan taraf hidup rakyat," katanya.
Tambah beliau, di samping itu, kesedaran mengenai program TVET dalam sektor perladangan dan komoditi perlu dipertingkatkan dalam kalangan belia terutama kepada isi rumah miskin bandar dan luar bandar.
"IMPAC disarankan untuk meningkatkan aktiviti-aktiviti promosi yang dapat meluaskan akses serta peluang latihan bagi menarik minat kalangan anak muda tempatan menyertai program latihan kemahiran yang menjurus kepada kerjaya di sektor ini," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!