Lulus RM12 juta atasi banjir termenung di Rantau Panjang
RANTAU PANJANG - [DIKEMAS KINI] Kerajaan meluluskan peruntukan segera berjumlah RM12 juta untuk mengatasi masalah banjir termenung di Rantau Panjang.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, peruntukan itu melibatkan pembelian enam pam berkuasa tinggi untuk menyedut keluar air dari kawasan yang terkesan dengan banjir termenung.
"Kita akan tempatkan di enam lokasi yang telah dikenal pasti bagi mengatasi masalah ini," katanya semasa sidang akhbar semasa mengadakan lawatan ke pusat pemindahan sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan (SK) Gual Tok Deh di sini pada Khamis.
Hadir sama Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob.
Menurut beliau, ia merupakan langkah segera yang akan dilakukan dan untuk jangka masa panjang kerajaan akan meneruskan pelaksanaan projek tebatan banjir di kawasan berlaku limpahan air dari negara jiran.
Ujarnya, ia bagi mengelak berlakunya banjir apabila limpahan air dari negara jiran berlaku di sepanjang Sungai Golok.
Ahmad Zahid berkata, sebanyak RM2.1 bilion diperuntukan kerajaan negeri melalui Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) untuk pembinaan tebatan banjir yang sebahagiannya telah dan sedang dilaksanakan.
"Langkah-langkah jangka panjang ini perlu dilakukan demi rakyat untuk kita laksanakan secara holistik," katanya.
Sinar Harian sebelum ini melaporkan beberapa buah kampung di sepanjang Sungai Golok di sini berdepan masalah ‘banjir termenung’ yang mengambil masa antara tiga minggu untuk surut.
Selain kadar taburan hujan, mereka mendakwa banjir yang melanda berpunca daripada projek tebatan banjir dibina di kawasan berkenaan.
Kegagalan tebatan banjir berfungsi dengan berkesan dikatakan penyebab beberapa kawasan sebelum ini tidak pernah banjir turut dilanda bencana.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!